Pemandu pelancong perlu permit

Oleh NOORASVILLA MUHAMMA

 

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti Seminar Prosedur Operasi Eko-Pelancongan di Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, kelmarin.

Peraturan baru berkuatkuasa mulai Januari 2015 

SANDAKAN: Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Dr Laurentius Ambu berkata, semua pemandu pelancong yang beroperasi di kawasan hidupan liar di negeri ini perlu mendapatkan permit operator pelancongan dan permit pemandu hidupan liar bermula Januari 2015.

Menurut beliau, sebagai permulaan dua permit berkenaan akan dikuatkuasakan di kawasan Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

Katanya, langkah itu diambil berikutan rungutan daripada pengusaha pelancongan yang mendakwa terdapat pemandu pelancong tidak berlesen dan tidak bertauliah beroperasi di kawasan itu.

“Bagaimanapun, permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar ini hanya untuk operator yang berdaftar dengan Persatuan Operator Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) dan Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA), selain telah mengikuti beberapa kursus oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah yang layak mendapatkan lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Prosedur Operasi Eko-Pelancongan di Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan di Sepilok Jungle Resort, di sini kelmarin.

Ketika ini, pemandu pelancong di Kinabatangan hanya mempunyai permit yang dikeluarkan oleh STGA.

Pemilikan permit bertujuan mengurangkan aktiviti operasi eko-pelancongan negatif selain menjamin keselamatan pelancong dengan mengikuti polisi sedia ada di Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

Selaras Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, di bawah Seksyen 76(1), operator yang melanggar sub-seksyen itu boleh dikenakan atas sabitan denda RM20 ribu atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau berkata lebih ramai pelancong akan datang ke kawasan eko pelancongan di Kinabatangan berikutan ia adalah sebahagian daripada kawasan Ramsar selain wujudnya pusat konservasi gajah di Lot 8, Kinabatangan.

Lebih 100 peserta terdiri pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong mengikuti seminar sehari itu yang diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh Datuk Doktor Laurentius Ambu, Presiden KiTA, Alexander Yee Kok Tsen dan Presiden STGA, Grace Leong selain sesi soal jawab bersama peserta.

 

What do you think of this story?
  • Angry (0%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Interesting (0%)
  • Great (0%)
Print Friendly

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of