Sekat penyokong masuk stadium elak rusuhan

0

Oleh Mahathir Haroun

 

KUCHING: Tindakan menyekat penyokong daripada memasuki stadium dipercayai sebagai langkah yang boleh diambil bagi mengelak insiden rusuhan penyokong berulang.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, ini kerana insiden rusuhan yang berlaku sebelum ini bukan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Kalau menyekat cara yang bagus untuk selesaikan masalah, kenapa tidak ia dilaksanakan atau tindakan lebih drastik termasuk dipenjarakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan segelintir menyokong yang merusuh dan masuk ke padang selepas tamat perlawanan antara Sarawak dan Perak malam Sabtu lepas.

Insiden itu menyebabkan lima anggota polis cedera selain tujuh kenderaan polis dibakar dan dirosakkan serta pintu pagar Stadium Negeri turut dirosakkan.

Mawan yang kecewa dengan tindakan segelintir penyokong itu berkata, pada masa akan datang pihak berkuasa dan penganjur perlu lebih bersedia untuk menangani perkara tersebut.

“Mentaliti rakyat Sarawak tidaklah teruk sangat sehingga sanggup melakukan rusuhan. Saya berharap ini kes terpencil,” ujarnya.

Mengimbas kembali ketika era Ngap Sayot katanya, ketika itu penyokong Sarawak juga amat cintakan bola sepak sehingga penyokong dan legenda bola sepak Sarawak Awang Mahyan Awang Mohamad sanggup terjun jambatan.

“Saya rasa rusuhan bukan cara untuk menunjukkan rasa cinta kepada bola sepak kerana ia bukan cara untuk menang,” jelasnya.

Sementara itu menurut Mawan, setakat ini kerugian yang dialami Stadium Negeri selepas insiden tersebut masih belum diketahui.

“Saya baharu balik dari Kapit dan masih belum mengetahui mengenai jumlah kerugian.

“Namun saya akan berbincang dengan pihak keselamatan dan stadium untuk mengetahui perkara sebenar,” kata Mawan.