Kenakan tindakan tegas pengguna laman sosial lagakan rakyat

0

KUCHING: Cegah sebelum parah, mungkin ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan situasi dalam media sosial sejak kebelakangan ini yang ada antaranya menyentuh sensitiviti agama atau perkauman.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi kerajaan berkaitan mesti bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan khianat dan melaga-lagakan rakyat menerusi laman sosial.

“Laman sosial seperti Facebook adalah bagus sebagai penghubung jika ia digunakan dengan baik tetapi ia juga boleh digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan khianat dan melaga-lagakan rakyat.

“SKMM dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab memantau anasir-anasir jahat ini mesti bertindak tegas dan jangan ambil ringan perkara ini.

“Jangan bila sudah merebak di segenap pelosok negara baharu hendak ambil tindakan,” katanya semalam diminta mengulas mengenai sikap pengguna media sosial yang menghina kaum dan agama dalam perbincangan di alam maya.

Malah, Karim berkata penggunaan Facebook di negara ini juga harus dikawal selia dengan baik bagi mengelak perkara tersebut daripada terus berleluasa.

“Pemilik akaun mesti didaftar dan kod etika pengguna mesti disenaraikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua SKMM Sarawak Adiman Ajem turut mengingatkan pengguna laman sosial agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berbaur perkauman atau yang boleh menimbulkan huru-hara.

“Berfikir sebelum menghantar sebarang kenyataan… apa yang salah di alam nyata juga salah di alam maya dan tertakluk kepada undang-undang,” katanya.

Adiman menjelaskan setiap aduan yang diterima SKMM akan diteliti sama ada kandungan yang diterbitkan di dalam talian adalah berkaitan dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) atau lebih kepada akta lain yang berkaitan seperti Akta Hasutan mahupun Kanun Jenayah.

“Tidak semua perkara di dalam talian jatuh di bawah AKM dan seliaan SKMM.

“Jika ia lebih kepada berunsur hasutan, ia boleh disiasat oleh PDRM,” katanya sambil menambah, SKMM bagaimanapun sentiasa memberi bantuan teknikal kepada polis dalam menyiasat kes dalam talian.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata usaha berterusan harus dilipatgandakan dalam mendidik pengguna media sosial supaya lebih berhemah dalam melontarkan pandangan dan kenyataan.

Demikian ditegaskan selain menambah, penguatkuasaan bagi memantau dan membendung berlakunya penularan isu yang tidak sihat di dalam laman sosial harus diperkemaskan.

“Fahaman dan ideologi yang dipegang tidak seharusnya dibiarkan untuk dijadikan sebagai medium mewujudkan suasana yang tidak sihat.

“Jika kita gagal menanganinya, sudah pasti masyarakat akan menjadi parah dan berpecah belah dan apabila ini terjadi, terkuburlah masa depan Malaysia.

“Segala nilai dan budaya yang dipegang selama ini akan tenggelam bersama-sama arus media sosial yang tidak pernah mengenali yang benar dan yang tidak akibat kerakusan manusia itu sendiri,” katanya.

Menurut Mohd Fadzil, toleransi antara kaum dan keharmonian di Sarawak adalah amat jelas namun sejak ledakan media sosial dan atas dorongan ideologi yang dibawa oleh pihak tertentu menerusi saluran tersebut, ia sedikit demi sedikit menghakis semangat yang sedia terjalin sejak sekian lama.

“Sungguhpun demikian, apa yang paling penting dalam konteks untuk menghadapi cabaran ini akhirnya berbalik kepada bagaimana didikan dan rasa bertanggungjawab dalam diri setiap seorang daripada pengguna laman sosial.

“Menutup saluran media sosial bagi membendung masalah ini bukanlah sesuatu yang bijak,” katanya.