Dalam dilema

0

BANTU KAMI: Pengadu bersama pasangan serta mentuanya ketika berada di Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis, semalam.

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Hasrat sepasang suami isteri muda untuk mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini terpaksa dibatalkan gara-gara kad pengenalan si suami dipercayai telah disalahgunakan.

Pengadu, 32, dari Pakan dimaklumkan bahawa mengikut senarai daftar JPN, dia telah berstatus ‘berkahwin’ sejak sembilan tahun lalu, sedangkan dia masih bujang.

Katanya, mengikut data itu, dia telah berkahwin pada 30 Mei 2005 di mana ketika itu dia sedang bekerja di Pulau Solomon.

Perkara itu hanya disedari oleh pengadu dan pasangannya, 22, dari Pasai Siong apabila mereka bersama mentua pergi ke JPN di Jalan Awang Ramli Amit di sini pada jam 2.30 petang kelmarin.

Ketika itu, pengadu dimaklumkan oleh petugas JPN bahawa dia kini berstatus ‘bapa’ dan mempunyai dua orang anak perempuan, walhal dia sendiri tidak pernah mengenali wanita yang dikatakan ‘isterinya’ di atas kertas.

“Saya tidak tahu dan tidak mengenali langsung ‘perempuan Bau’ yang dikatakan isteri saya itu,” keluh pengadu.

Justeru, dia percaya kad pengenalannya telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, dia pernah kehilangan kad pengenalan suatu ketika dahulu semasa pergi ke Kuching bersama bapa saudaranya.

Katanya, dia telah membuat laporan polis berhubung kehilangan kad pengenalan itu di Sarikei, tetapi kurang pasti tarikh laporan itu dibuat.

Pagi semalam, pengadu pergi semula ke pejabat JPN di sini, namun hampa setelah dimaklumkan oleh petugas di situ bahawa mereka tidak dapat membatalkan namanya dalam senarai daftar perkahwinan.

“Sekiranya pihak JPN batalkan, mereka (JPN) termasuk saya dan isteri saya akan diambil tindakan (penjara).

“Kini, saya bersama pasangan saya berharap pihak-pihak yang berkenaan dapat membantu untuk menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Difahamkan, pasangan itu telah meraikan perkahwinan mereka mengikut adat Iban di sebuah rumah panjang di Pasai Siong dekat sini, awal Januari lepas.