142 sertai Kejohanan Terbuka Skuasy Borneo CMS

0

KUCHING: Seramai 142 peserta dari seluruh negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Terbuka Skuasy Borneo CMS 2014 Ke-8 yang akan berlangsung dari 12 hingga 14 September ini di sini.

Persatuan Skuasy Sarawak (SAK) akan menjadi tuan rumah dan penganjur kepada pusingan akhir salah satu aktiviti tahunan Persatuan Raket Skuasy Sarawak (SRAS) yang dikenali sebagai CMS S1 Sirkit.

Presiden SAK Connie Yeo berkata, dua daripada tiga perlawanan sirkit telah berlangsung di Miri pada Jun lalu dan Sibu pada minggu lepas.

“Kejohanan ini akan membariskan beberapa pemain kebangsaan seperti Jessica Keng dari Sabah dan Puvendran dari Kedah termasuk pemain tempatan berusia 11 hingga 19 tahun dari Kota Samarahan, Sibu, Miri, Kuching, Sabah dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Terbuka Skuasy Borneo CMS 2014 di Kelab Sarawak semalam.

Katanya, objektif utama di sebalik penganjuran kejohanan itu adalah untuk mencungkil bakat muda dalam sukan skuasy.

“Kita mahu golongan remaja dan kanak-kanak mendapat pendedahan awal apabila bersaing dengan pemain yang lebih berpengalaman,” jelasnya.

Kejohanan itu akan mempertandingkan 10 kategori melibatkan lelaki dan perempuan bawah 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun.

Juara bakal membawa pulang Piala Borneo CMS serta hadiah wang tunai dan hadiah tajaan bagi tiga tempat teratas.

CMS Group of Companies menjadi penaja utama bersama Milo, Coco Crunch, Vico, Revive Isotonik, Lea Sports Centre dan Water Genesis.

Hadir sama Pengerusi Penganjur Idris Sulaiman, Setiausaha Agung SRAS Ronero Yap, Setiausaha SAK Margaret Kechendai, Bendahari SAK Irene Goh, wakil MST (Vico) Debroah Kechendai dan Pengurus Besar Lea Sports Centre Poh Hoon Siok.