Aksi perahu naga gamit tumpuan

0

Oleh Harry Ilias //

56 pasukan tempatan dan antarabangsa bersaing buru slot ke perlumbaan akhir

SENGIT: Sebahagian daripada aksi menarik perlumbaan Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2014 di Tebingan Kuching.

KUCHING: Acara yang paling dinanti, Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak memulakan saingan pada hari ketiga Regata Sarawak 2014 di Tebingan Kuching semalam menyaksikan 56 pasukan tempatan dan antarabangsa bersaing dalam 15 acara saringan bagi memburu slot ke perlumbaan akhir.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan bagi perlumbaan tersebut iaitu 20 Pekayuh Terbuka Antarabangsa, 12 Pekayuh Terbuka Antarabangsa, 20 Pekayuh Campuran Antarabangsa dan 12 Pekayuh Campuran Antarabangsa.

Pasukan yang melepasi peringkat ini akan bersaing pada peringkat ‘repechage,’ separuh akhir dan seterusnya ke pusingan akhir yang akan berlangsung pagi ini.

Antara yang menunjukkan amaran awal kepada pencabar lain adalah pasukan dari Thailand, Nonthaburi yang berjaya meraih tempat pertama dalam perlumbaan saringan pertama 20 Pekayuh Terbuka Antarabangsa.

Pelajar dari Politeknik Singapura turut cemerlang setelah berjaya menduduki tempat pertama dalam saringan kedua kategori yang sama.

Sementara itu, berlangsung empat acara akhir pada sebelah pagi menyaksikan LANDAS dinobatkan juara Acara Kenyalang Terbuka 20 Pekayuh Lelaki setelah mengatasi Kumpulan Yayasan Sarawak Puteri Dang Balai di tempat kedua manakala Istana Merdeka di tempat ketiga.

Kumpulan Yayasan Sarawak terus gah apabila berjaya menjuarai Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Antara Bahagian), diikuti LANDAS dan PUSAKA (Bahagian Mukah) bagi tempat kedua dan ketiga.

Dalam acara Bidar 10 Pekayuh Lelaki, Kumpulan Yayasan Sarawak Puteri Dang Balai sekali lagi menaiki podium dengan menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

Tempat kedua milik Istana Merdeka manakala Puteri Dang Balai meraih tempat ketiga.

Acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki Petra (Tempatan) pula memperlihatkan penguasaan Sinaran Ratu Siska yang berjaya mengatasi Sri Muara Tuang dan GP Jang bagi tempat kedua dan ketiga.

Regata Sarawak 2014 yang akan melabuhkan tirainya hari ini akan mempertandingkan 12 lagi acara akhir dengan tumpuan diberikan terhadap acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki bagi menabalkan Raja Sungai 2014.