Atlet RTC menyerlah pada Kejohanan Taekwondo Antara Sekolah

0

SIBU: Atlet dari Kelab Taekwondo Rajang (RTC) mempamerkan persembahan memberangsangkan pada Kejohanan Taekwondo Antara Sekolah di Kuching, baru-baru ini.

Pasukan itu berjaya memungut sembilan pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa sekali gus mengulangi pencapaiannya empat tahun lalu.

Ketua Jurulatih RTC Thomas Tang berkata, atletnya berjaya memanfaatkan segala kemahiran yang diajar sehingga membuahkan hasil.

“Kami telah menghantar 17 atlet dan mereka semua kembali dengan sekurang-kurangnya satu pingat. Ini sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Tang menjelaskan, Tie Tong Siong antara atlet yang paling cemerlang semasa kejohanan tersebut.

Tie, pemenang pingat emas SUKMA Perlis, mendapat pingat emas dalam kategori middleweight terbuka lelaki dan kategori middleweight berusia 14 hingga 17 tahun.

“Dia mempunyai masa depan yang cerah dan setakat ini, beliau merupakan atlet terbaik kami,” jelas beliau.

Atlet lain yang memenangi pingat emas ialah Lau Heng Yih, Annie Lau, Lucas Wong, Wong Leh Ho, Tie Sing Da, Joyce Hi dan Mohd Effendi Tai.

Tiga pemenang pingat perak ialah Serrena Hii, Samuel Wong dan Laura Lee, manakala pemenang pingat gangsa Kong Ming Chak, Sydney Yew, Wong Sie Yi, Tie Sing Da dan Jackie Ting.