Budak maut diserang tebuan, ibu kritikal

1

DISERANG TEBUAN: Mangsa-mangsa tiba di HUS untuk menerima rawatan lanjut.

KOTA SAMARAHAN: Seorang budak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia, manakala ibunya kritikal selepas mereka dan empat yang lain termasuk suami dan anak lelakinya diserang tebuan ketika mencari daun atap di sini, semalam.

Insiden berlaku sekitar tengah hari apabila wanita terbabit yang berusia 24 tahun dan suaminya, 31, meninggalkan rumah mereka di Muara Tuang dan pergi ke Kampung Tanjung Bundong untuk mencari daun atap bagi membungkus kuih.

Mereka ditemani dua anak mereka serta kakak kepada si suami serta anak buah yang berusia lapan tahun.

Menurut sumber, tiga mangsa dewasa sedang mencantas daun apabila dipercayai terkena sarang tebuan yang menjurus kepada serangan tersebut.

Mangsa dewasa dilaporkan paling parah disengat tebuan kerana menggunakan badan untuk melindungi anak-anak kecil sambil mengendong mereka ketika lari ke tempat selamat.

Mereka kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan sebelum dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.

Semua mangsa stabil selepas insiden tersebut kecuali si ibu yang dimasukkan ke Zon Merah bersama anak perempuannya yang meninggal dunia pada jam 6.30 petang semalam.

Setakat berita ini ditulis semalam, si ibu dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.