Jangan ubah undang-undang dengan sesuka hati, kata Rais

0

Bagaimanapun, usaha menambah baik boleh dilakukan

JELEBU: Penasihat kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata sesuatu undang-undang itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya semata-mata untuk mengisi desakan semasa.

“Jadi, dalam hubungan itu, kita harus menimba kebijaksanaan daripada pengalaman tentang Akta ISA dan juga akta baharu seperti SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2013 dan juga Akta Perhimpunan Aman yang sedang berkuat kuasa sekarang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jelebu oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Besar Majlis Daerah Jelebu, Kuala Klawang, di sini.

Rais yang Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata Akta Hasutan 1948 mempunyai dua peruntukan yang penting iaitu Seksyen 3 dan Seksyen 4 di mana, maruah, imej, kestabilan serta ‘angkat-ungkit’ tentang Raja Melayu, Islam dan perkauman dapat diselaraskan.

Justeru, katanya, Seksyen 3 dan Seksyen 4 ini, walau apapun berlaku tidak harus dipinda.

Rais berkata apa yang penting ialah menjadikan Malaysia ‘tegap’ dan untuk itu akta itu boleh dipinda tetapi hanya untuk diperbaiki lagi bukan menidakkan kuat kuasa Seksyen 3, 4 dan 8, akta tersebut.

Ini penting sebab ada 21 kes dalam tempoh kira-kira 40 tahun yang lalu di mana akta ini telah dapat mendamaikan situasi dan memberi tenaga dan kuasa kepada pihak yang membuat penterjemahan serta menguat kuasa undang-undang, katanya.

“Jadi, pada pandangan saya yang meneliti akta ini sekian lama juga, ia harus kekal tetapi boleh ditambah baik untuk memasukkan ke dalamnya hal-hal berhubung dengan perkauman, hal-hal hendak mengeluarkan mana-mana negeri daripada persekutuan dan lain-lain.

“Jadi sekarang situasi seperti di pihak yang hendak membawa Sabah keluar daripada Malaysia misalnya. Ini merupakan hasutan tetapi dalam akta ini tidak begitu jelas kedudukannya. Harus kita berfikir dalam soal ini,” katanya.

Beliau berkata tentang ISA, ia sudah dipinda dan sudah diusulkan oleh Parlimen dan SOSMA menjadi akta baharu, hanya mekanisme untuk pentadbirannya belum jelas.

“Tidak perlu kita hidupkan balik ISA, tetapi kita perlu latihan penguatkuasaan SOSMA. Ini pandangan saya dari segi isian dan juga masa depan perundangan negara. — Bernama