Dua warga Filipina miliki bahan letupan diberkas

0

Oleh AMIR ANUAR //

SEMPORNA: Dua lelaki warga Filipina diberkas di Laut Nusa Kuya kira-kira jam 4.30 petang Ahad lalu oleh Pasukan Polis Marin (PPM) kerana memiliki bahan letupan.

Komander PPM Sabah ACP Mohammad Madun berkata, kedua-dua suspek berumur 35 dan 30 tahun yang menaiki sebuah bot pam itu disyaki menjalankan aktiviti bom ikan.

“Mengikut laporan daripada Pegawai Pemerintah PPM Semporna ASP Safardi Abd Samad, suspek-suspek diberkas anggota Unit Gempur Marin PPM Wilayah 5 Sarawak.

“Keberadaan suspek dikesan semasa pasukan kita menjalankan Tugas Khas Ungerin dan Op Paradise dengan Bot D’Coy 1 dibantu Bot Tempur RH 38,” katanya di sini kelmarin.

Mohammad berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek terlibat memiliki peralatan mencurigakan disyaki untuk membuat bom seperti satu botol kaca berisi baja ammonia.

Beliau berkata, suspek-suspek itu juga didapati memiliki satu unit kompresor, sepasang fin, satu unit diving mask, 6kg ikan pelbagai jenis dan dua gelen minyak petrol.

“Kita turut merampas bot pam yang dinaiki kedua-dua suspek serta enjin bot 16 kuasa kuda yang mereka miliki,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 (b) Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan.