Hari Kemerdekaan tanpa sebut ke berapa

3

Oleh Rusnan Mustafa //

Hari Kemerdekaan 31 Ogos sahaja untuk memastikan rakyat Sarawak, Sabah tidak rasa tersisih

KUCHING: Hari Kemerdekaan yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun kemungkinan besar tidak akan menyebut ulang tahun yang ke berapa ia diraikan bermula tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini semalam.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormatterhadap Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bagi memaklumkan perkara itu.

“Saya maklumkan kepada beliau (Adenan) untuk mendapatkan beberapa pandangan daripada orang Sarawak dan insya-Allah saya akan bercakap perkara yang sama kepada kepimpinan Sabah iaitu cetusan idea kemungkinan apabila kita menyambut Hari Kemerdekaan kita tidak lagi menyebut sambutan Hari Kemerdekaan yang ke berapa misalnya pada tahun ini kita menyambut kemerdekaan kali ke- 57 jadi tahun depan ke-58 dan seterusnya,” katanya.

Shabery menambah, penggunaan Hari Kemerdekaan 31 Ogos tanpa menyebut tahun ke berapa itu bagi memastikan rakyat Sarawak dan Sabah tidak berasa tersisih.

“Kalau kita menyebut tahun tersebut ia dianggap akan menyisihkan rakyat di Sarawak dan Sabah misalnya kalau kita sebut sambutan ke-57, orang Sarawak kata itu tidak ada kena-mengena dengan kami kerana kami merdeka bersama dengan Malaysia ini tahun 1963.

“Jadi ia tidak releven kalau kita raikan secara besar-besaran pada tahun ke-60 mungkin ada rakyat di negeri tertentu merasakan ia tidak ada kena-mengena dengan mereka.

“Justeru, kita akan mencadangkan sebutan Hari Merdeka itu hanya kita menyebutkan sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos, itu sahaja,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Shabery berkata untuk membuat satu keputusan pihaknya menjalankan konsultasi dengan merujuk semua pihak termasuk kerajaan negeri khususnya Sarawak.

“Sabah mungkin tidak begitu sensitif kerana Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 dan sejarah kita pada asalnya Sarawak pun sepatutnya 31 Ogos tetapi ia ditunda dua minggu kerana sebab tertentu pada waktu tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan, rasional pendekatan itu diambil bagi mengambil contoh Amerika yang hanya meraikan sambutan Hari 4 Julai.

“Ia bukan berertinya mereka mencapai kemerdekaan kerana hari itu mereka menandatangani deklarasi kemerdekaan tetapi negeri lain mempunyai tarikh yang berbeza namun mereka tidak mempertikaikan 4 Julai ini dan menerima untuk sambutan bersama,” tegasnya.

Menurutnya, secara umumnya beliau mendapat maklum balas yang positif daripada Ketua Menteri dan rakan-rakan daripada negeri Sarawak.

Ditanya mengenai 16 September sama ada ia akan terus disambut, Shabery berkata perkara berkenaan belum dibincangkan sehingga ke peringkat itu dan mungkin Hari Malaysia akan terus disambut.