Jentera bomba terbabas, rempuh kedai perabot

0

Oleh AMIR ANUAR ///

Insiden berlaku ketika dalam  perjalanan ke Batu Payung untuk memadam kebakaran

GAMBAR rakaman telefon mudah-alih daripada seorang pengguna jalan raya yang menunjukkan jentera bomba terlibat sedang dikeluarkan dari lokasi kejadian.

TAWAU: Sebuah jentera bomba terbabas di Batu 2 Jalan Apas kira-kira jam 3.20 pagi kelmarin sehingga merempuh pagar dan bumbung sebuah kedai perabot di tepi jalan.

Utusan Borneo difahamkan, jentera terbabit dinaiki tujuh anggota bomba dan tidak ada orang yang berada di premis perniagaan terlibat semasa kejadian itu berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau ASP Tanggaraju Velayudan mengesahkan kesemua pemandu dan anggota bomba terlibat tidak mengalami kecederaan akibat insiden itu.

“Siasatan awal menunjukkan kemalangan ini berlaku semasa jentera bomba itu sedang dalam perjalanan ke Batu Payung untuk memadam kebakaran,” katanya.

Tanggaraju berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, jentera bomba yang berada di laluan sebelah kanan terlanggar kawasan takungan air di atas lorong kanan jalan.

Akibat insiden itu, jentera bomba terbabit dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri bahagian bahu jalan menghala ke Batu Payung dari arah pusat bandar.

“Jentera bomba itu sudah dibawa pulang ke Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau sementara menunggu taksiran kerosakan oleh Jabatan Kerja Raya Tawau,” katanya.

Menurutnya, keterangan pemandu jentera serta saksi-saksi kejadian akan diambil untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.