Kerajaan tidak luluskan sebarang pembangunan di KK Wetland

0

Oleh S.CONNIE PEARL SUIL //

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak meluluskan sebarang pembangunan berhampiran Kota Kinabalu Wetland Centre (KK Wetland).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pembangunan termasuk perumahan tidak dibenar dibangunkan kira-kira 1 kilometer daripada sempadan KK Wetland yang berkeluasan 24 hektar itu.

Katanya, usaha itu adalah antara inisiatif kerajaan untuk mengekalkan kelestarian berterusan di kawasan terbabit.

“Dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), ini adalah satu komitmen Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kelestarian di tempat berkenaan.

“Ini adalah bukti Kerajaan Negeri begitu serius memastikan ada keseimbangan dalam pembangunan di samping usaha mengekalkan dan menjaga alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas perasmian Simposium Antarabangsa ‘Pengurusan dan Pemuliharaan Tanah Lembap’ di Hotel Le Meridien, di sini kelmarin.

Masidi berkata, usaha itu perlu bagi memastikan kelestarian kawasan terbabit terus kekal terpelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kita tiada halangan jika pemaju ingin ‘menimba’ keuntungan daripada aktiviti pembangunan hartanah tetapi biarlah keuntungan itu disertai dengan rasa bertanggungjawab dengan memastikan kelestarian alam sekitar.

“Sebarang pembangunan itu harus diambil kira dan harapan saya adalah supaya semua pemaju khususnya, dapat melihatnya sebagai tangungjawab iaitu mengambil kira keperluan bagi memastikan kawasan itu kekal seperti sekarang,” katanya.

Sementara itu, mengenai simposium terbabit, Masidi berkata ia memberi peluang kepada warga Sabah mempelajari kaedah-kaedah baharu untuk mengekalkan kawasan tanah lembap di negeri ini di samping mendapatkan dana bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan.

Justeru katanya, usaha itu adalah salah satu langkah yang baik serta tepat agar rakyat khususnya sektor swasta dapat turut serta dalam usaha murni menjaga warisan alam sekitar yang tidak terdapat di negara-negara luar.

Turut hadir, Presiden Sabah Wetlands Conservation Society Datuk Zainie Abdul Aucasa, Pengerusi Penganjur Simposium Datin Seri Panglima Dr Ann Anton, dan Ketua Penasihat Teknikal Japanese International Cooperation Agency Kazunobu Suzuki.