Program Roti 1Malaysia diperluaskan ke Sabah

0

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Program Roti 1Malaysia bagi golongan kurang bernasib baik diperluaskan ke Sabah semalam.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata program itu mencatat satu lagi sejarah menerusi pelancaran ‘Roti bagi Sabah’, di sini.

“Program kebajikan seperti Roti bagi Sabah dapat menjalin perpaduan lebih erat dalam sebuah negeri unik seperti Sabah, yang menghimpunkan pelbagai etnik, bahasa dan dialek,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada kempen berbentuk kebajikan dan peranannya dalam menambah baik pembangunan sosial.

Sementara itu, pengerusi program Datuk Anne Eu berkata: “Matlamat kami adalah untuk menyebarluaskan program ini ke seluruh Malaysia dan mempertingkatkannya sebagai program kebajikan kebangsaan yang diketahui umum serta mantap”.

Roti 1Malaysia adalah projek komuniti yang bertujuan mewujudkan platform bagi individu dan sektor korporat untuk bekerjasama dalam mengagihkan roti serta pastri berkualiti tinggi dari hotel serta bakeri lima bintang kepada golongan kurang bernasib baik.

Program itu yang mendapat sokongan padu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tahun lepas, menyediakan roti dan pastri segar setiap hari dari Isnin hingga Jumaat atau sekali sebulan ke rumah orang tua, rumah anak yatim, rumah bagi orang kurang upaya, hospis dan rumah perlindungan HIV.

Hotel yang mengambil bahagian di Sabah termasuk Gaya Island, Hyatt Regency, Klagan, Le Meridien, Novotel, Pacific Sutera, Promenade, Shangri-La Rasa Ria, dan Shangri-La Tanjung Aru Resort and Spa. — Bernama