12 pelajar Sabah terima biasiswa Shell Malaysia

0

Oleh S.CONNIE PEARL SUIL

MERLELA (kanan) menerima anugerah biasiswa daripada Masidi.

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 pelajar pengajian tinggi di Sabah terpilih, daripada 54 orang di seluruh negara, menerima biasiswa Shell 2014 daripada 4,000 yang memohon dari seluruh negara.

Tujuh daripada 12 penerima biasiswa itu melanjutkan pengajian di universiti tempatan manakala selebihnya di luar negara.

Pengarah Bahagian Hubungan Kerajaan Shell Malaysia Rowina Ghazali berkata, pelaburan sosial terbesar bagi syarikat itu adalah menyediakan pendidikan kepada belia Malaysia menerusi Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Shell 2014.

“Kita menyedari negara kini menuju ke aras ekonomi berpendapatan tinggi, ini memerlukan golongan profesional yang lebih ramai dan berkelayakan tinggi untuk menjadikan negara lebih berdaya saing,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Shell 2014, di sini kelmarin.

Menurut Rowina, Shell Malaysia telah melabur lebih RM100 juta untuk mempromosikan kecemerlangan pendidikan sejak 10 tahun lalu menerusi pemberian biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar yang cemerlang.

Sementara itu, salah seorang penerima biasiswa Merlela Madsah, 20, berkata, dia sangat bersyukur kerana diberikan peluang menerima biasiswa sekali gus meringankan bebanan keluarga menanggung pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Ketika dihubungi pada 3 September lalu tepat jam 7.18 pagi, saya dimaklumkan bahawa saya berjaya menerima biasiswa ini. Saya tidak terkata kerana tidak menyangka akan berjaya mendapatnya,” katanya.

Merlela berkata, biasiswa itu akan digunakan bagi meneruskan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan kimia selama empat tahun.

“Ayah saya hanya pesara posmen manakala ibu hanya surirumah, saya berasa lega dengan adanya biasiswa ini yang dapat digunakan untuk menampung pengajian yang kini di semester tiga,” katanya.

Sementara itu, James Liew, 20, yang akan melanjutkan pengajian di University of Cambridge, England juga tidak menyangka akan mendapat peluang biasiswa daripada Shell.

James yang mengambil Kejuruteraan Sivil dan akan berangkat ke universiti itu pada hujung bulan ini berkata, dia amat teruja apabila menerima berita baik apatahlagi hanya menaruh keyakinan sebanyak 30 peratus terhadap permohonan biasiswa itu.

“Ini adalah satu keajaiban…menerajui dalam industri minyak dan gas adalah sebahagian daripada impian saya,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pendidikan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang turut menyampaikan dermasiswa bernilai RM750 kepada setiap seorang 110 pelajar cemerlang PMR dari seluruh Sabah.