Kubu Margherita sarat sejarah

Oleh Agnes Tugong //

 

GAH BERDIRI: Reka bentuk Kubu Margherita menyerupai istana lama Inggeris pada zaman pembaharuan, dengan benteng kubu dilengkapi meriam dan teropong untuk meninjau musuh.

KUBU Margherita merupakan sebuah bangunan bersejarah yang amat sinomin dengan bandaraya Kuching.

Dibina pada tahun 1879 oleh Rajah Sarawak Kedua Sir Charles Brooke, bangunan ini dinamakan sempena Ranee Margaret Brooke, isteri dan permaisuri Rajah Charles.

Reka bentuk mercu tanda ikonik ini adalah berdasarkan kepada istana lama Inggeris di zaman pembaharuan.

Kubu ini terletak di kedudukan strategik di atas bukit mengadap lencongan sungai dengan pemandangan meluas ke semua arah.

Pembinaannya bertujuan untuk menunjukkan kuasa dan keteguhan kerajaan, di samping menambahkan keindahan Kuching.

Gaya kubu ini mencerminkan Astana (1870) di sebelah Barat dan juga kubu kembarnya, Square Tower (1879) yang terletak di tebing sungai yang bertentangan.

Menjelang tahun 1879, Kuching sedang melalui masa aman dan meriam kubu ini tidak pernah digunakan.

Apa yang tidak dapat dijangkakan Rajah Charles adalah satu-satunya bentuk serangan ke atas kubu tersebut iaitu cubaan pengemboman udara oleh Empayar Jepun pada 19 Disember 1941.

Pengeboman itu tersasar dan membunuh 25 orang awam serta mencederakan lebih 80 orang lagi.

Pada Hari Krismas 1941, kubu dan Kuching jatuh ke tangan Jepun.

Sebelum pencerobohan Jepun, kubu ini mempunyai pengawal yang berkawal di benteng kubu sepanjang hari dan malam melaungkan ‘Semua Baik’ setiap jam antara 8 malam dan 5 pagi.

Laungan ini akan disahut pengawal di Astana disusuli pengawal di Bangunan Mahkamah dan akhirnya pengawal di Perbendaharaan.

Suara mereka kedengaran jelas dalam keheningan malam dan ini memastikan pengawal sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga sekali gus memberi keyakiann kepada penduduk bahawa keadaan adalah selamat.

Secara keseluruhannya, empat bendera berbeza telah dikibarkan di Kubu Margherita, bendera Rajah Sarawak selama 62 tahun, kemudian Hinomaru (bendera Jepun) semasa perang dan selepas itu Bendera Union British sehingga 1963.

Dari 1963 hingga ke hari ini, bendera Negeri Sarawak berkibar megah dari tiang bendera Kubu Margherita.

Bagi memastikan bangunan bersejarah terus terpelihara, Jabatan Muzium Malaysia telah membuat kerja pemuliharaan ke atas kubu ini pada tahun 2002.

Walau bagaimanapun kubu ini kemudiannya mengalami kerosakan dinding yang teruk dan sekali lagi dibaik pulih secara intensif pada tahun 2012 hingga 2013.

Konservasi kubu ini merupakan salah satu projek utama Jabatan Muzium Negara di bawah Program Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

TERIMA KASIH: Rashidi (tiga kanan) menyerahkan kunci replika kepada Sebastian sebagai simbolik penyerahan tapak Kubu Margherita kepada Kementerian Pembangunan Sosial.

USAHA KONSERVASI

Tujuan kubu ini dibaik pulih adalah kerana ia merupakan antara monumen paling signifikan kepada bandaraya Kuching dari sudut sejarah, reka bentuk dan pelancongan.

Antara kerja-kerja konservasi penting yang dijalankan ke atas kubu ini ialah pemuliharaan dinding dimana dinding kubu ini dikopek secara manual diikuti dengan proses penyahgaraman dan kemudiannya dilepa semula dengan lepa kapur.

Semua aktiviti pemuliharaan serta bahan yang digunakan telah melalui proses penyelidikan dan analisa bahan untuk memastikan keserasian dengan bangunan lama ini.

Kerja-kerja lain termasuklah pengukuhan bangunan dengan mengganti atau membaik pulih struktur kayu yang ada.

Perubahan ketara yang dapat dilihat pada kubu ini setelah dipulihara ialah tingkapnya dimana tingkap kayu yang digunakan menyerupai tingkap asal bangunan semasa ia didirikan pada tahun 1879.

Pada 4 September lalu, Jabatan Warisan Negara dengan rasminya menyerahkan projek siap kerja konservasi Kubu Margherita yang telah dibaik pulih pada tahun 2012 kepada Jabatan Muzium Sarawak.

Majlis serah tapak siap kerja Kubu Margherita telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Rashidi Hasbullah bagi pihak Ketua Setiausaha KPK Datuk Dr Ong Hong Peng.

Kunci replika sebagai simbolik penyerahan tapak kubu ini telah diserahkan oleh Rashidi kepada Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Sosial Sebastian Sujang pada majlis yang berlangsung di tapak kubu berkenaan.

Dalam pada itu Jabatan Warisan Negara (JWN) telah menjalankan kajian awalan dan kajian dilapidasi ke atas kubu ini pada tahun 2009 sebagai langkah pertama sebelum kerja-kerja pemuliharaan dibuat.

Ini membolehkan usaha pemuliharaan ke atasnya dilakukan dengan cara yang betul supaya tidak merosakkan bangunan bersejarah ini.

Kerja-kerja pemuliharaan telah dimulakan oleh Jabatan Warisan Negara pada 5 Oktober 2012 dan siap sepenuhnya dalam tempoh 14 bulan dengan kos RM2.3 juta.

Selesai kerja baik pulih, kubu ini akan dijadikan sebagai muzium oleh Jabatan Muzium Sarawak dan Galeri Brooke yang akan memaparkan artifak-artifak peninggalan Brooke.

Dengan itu, kubu ini akan menjadi salah satu destinasi pelancongan di negeri Sarawak dan orang ramai berpeluang melihat satu-satunya seni bina Kota Zaman Brooks yang paling asli di sini.

Selain daripada usaha pemuliharaan Kubu Margherita ini juga diharap dapat memberikan faedah dari aspek ekonomi, seni bina dan juga pendidikan disamping dijadikan produk pelancongan.

Pada masa yang sama, hasil kerja konservasi yang telah didokumentasikan turut akan menjadi sumber rujukan dalam pembelajaran berkaitan dengan sejarah tempatan dan seni bina untuk kelangsungan pemuliharaan khazanah warisan bagi generasi akan datang.

What do you think of this story?
  • Great (69%)
  • Interesting (18%)
  • Angry (6%)
  • Nothing (5%)
  • Sad (1%)
Print Friendly

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of