Langkah elak kemalangan di laut

0

Oleh S.CONNIE PEARL SUIL //

Beri taklimat terperinci kepada agen mengenai risiko di tempat pelancongan

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyarankan semua agen pelancongan supaya memberikan taklimat terperinci mengenai risiko laut.

MASIDI (kiri) menerima cenderahati daripada Herdiansah ketika berkunjung di gerai pameran JKJR Sabah. Turut kelihatan Sapawi (dua kiri) dan Ismail (kanan)

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengulas mengenai kes lemas yang melibatkan pelancong di negeri ini.

“Berdasarkan kajian, kebanyakan kes lemas khususnya yang melibatkan pelancong dari China adalah berpunca kerana tidak tahu berenang.

“Ia juga lebih kepada keterujaan pelancong itu sendiri untuk ‘terjun’ ke laut sehingga tidak sedar dibawa oleh arus dan tidak dapat diselamatkan kerana tiada sesiapa melihat apatah lagi mereka berenang di tempat terpencil,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran seminar keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor pelancongan kelmarin.

Justeru katanya, agen pelancongan perlu memastikan setiap pelancong telah membaca tip-tip keselamatan sebelum berangkat ke pulau menerusi bahasa yang difahami.

Selain itu katanya, risiko laut juga perlu ditekankan agar pelancong mempunyai perakuan makluman serta peringatan yang telah pun diberikan oleh agen pelancongan.

“Usaha ini membolehkan agen pelancongan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memberikan tips berguna mengenai keselamatan pada setiap pelancong yang datang ke negeri ini,” tegasnya.

Mengulas mengenai sektor pelancongan melibatkan China, Masidi berkata usaha promosi masih berjalan seperti biasa.

“Cuma kita menggunakan kaedah pendekatan berbeza kerana ada sebilangan rakyat China masih sensitif dengan insiden kehilangan MH370 serta penculikan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) Dato’ Sri Ismail Abd Muttalib berkata, kejadian kemalangan amat merugikan kerana sejumlah wang terpaksa dkeluarkan bagi kos rawatan dan bayaran pampasan.

Katanya, sejak tahun kebelakangan ini bilangan kemalangan di sektor pelancongan dan perhotelan yang dilaporkan telah meningkat sebanyak 22 kes pada tahun 2013 berbanding 16 kes pada tahun 2012.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah Herdiansah Abdul Karim.