‘Sang Bedal’ masuk perangkap

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

Buaya tembaga berkuruan 1.5 meter panjang kemudian dihantar ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi

Kelihatan anggota petugas JHLS dan JPAM Sabah memegang reptilia yang terperangkap dalam sangkar khas di Taman Rekreasi Kompleks Sukan pagi kelmarin.

KOTA KINABALU: Kisah kelibat buaya yang sering kelihatan di Taman Rekreasi Kompleks Sukan Likas sejak seminggu lalu berakhir selepas reptilia itu berjaya ditangkap kelmarin.

Reptilia yang juga terkenal dengan jolokan ‘Sang Bedal’ itu difahamkan termasuk ke dalam perangkap khas yang dipasang oleh sepasukan anggota Unit Penyelamat Jabatan Hidupan Liar (JHLS) Sabah kira-kira jam 8 pagi.

Renjer Kanan Bahagian Penguatkuasa dan Pelesenan JHLS Sabah Melvin Richard Amandus berkata, sebaik menerima laporan daripada aduan orang awam berhubung penemuan buaya berkenaan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita menerima laporan daripada orang awam yang sedang menjalankan aktiviti riadah bahawa reptilia berkenaan telah memasuki perangkap yang dipasang di tasik itu.

“Setibanya di situ, kita dapati reptilia jenis buaya tembaga berkuruan 1.5 meter panjang dan berdasarkan maklumat awal ia termasuk ke dalam tasik itu daripada kawasan luar,” katanya.

Menurut beliau, pihak JHLS Sabah telah menerima maklumat berhubung kehadiran buaya itu sejak lebih seminggu lepas dan operasi memerangkap terus dijalankan di kawasan terbabit.

“Buaya itu akan dihantar ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.