Terperanjat temui mayat dalam kebun

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Ranggal Kanibongan di daerah Pitas gempar seketika berikutan penemuan mayat seorang penoreh getah lelaki yang dipercayai mati ditembak berhampiran sebuah kebun di perkampungan itu baru-baru ini.

Mangsa dikenali sebagai Josmon Masuntang, 36, yang juga berasal dari kampung terbabit telah ditemui oleh beberapa penduduk setempat di kebun berkenaan dengan keadaan berlumuran darah dan mempunyai kesan tembakan di bahu kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Salehudin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah ditembak menggunakan sejenis senjata api sebelum di temui di sebuah kebun tidak jauh daripada perkampungan itu.

“Dalam kejadian berlaku pada Isnin lalu kira-kira jam 8 pagi itu, kita menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di Kampung Ranggal Kanibongan, Pitas dengan dipercayai mempunyai kesan tembakan.

“Turut ditemui adalah tiga kelongsong peluru berhampiran mangsa dan mayat lelaki itu kini telah di bawa ke Hospital Pitas untuk proses bedah siasat,” katanya.

Menurut beliau, susulan daripada kes itu, seorang lelaki berusia 24 tahun telah ditahan polis untuk membantu siasatan.

“Lelaki itu berasal dari kampung yang sama dengan mangsa dan kini direman bagi tindakan lanjut.

“Buat sementara ini kita masih menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenalpasti motif kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya di sini kelmarin.

Sementara itu dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya kini memburu seorang suspek lelaki warga asing berusia 32 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kematian membabitkan pekerja ladang di Sharimu Tiga, Kinabatangan pada 8 September lalu.

Salehudin berkata, dalam kes itu, mangsa yang juga merupakan warga asing berusia 21 tahun ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah berhampiran sebuah bilik rumah kongsi pekerja ladang di situ.

“Mangsa berusia 21 tahun dan siasatan awal terdapat beberapa kesan tetakan di bahagian badannya yang dipercayai berpunca daripada senjata tajam.

“Susulan daripadanya, kita kini sedang mengesan seorang lelaki berusia 32 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes yang turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini,” katanya.