141 pendatang haram dicekup

0

KOTA KINABALU: Seramai 141 pendatang haram yang ‘berkampung’ di penempatan Kampung Lobou, Menggatal di sini berjaya dicekup pihak berkuasa dalam serbuan besar-besaran malam kelmarin.

Serbuan yang dijalankan bermula jam 11 malam itu membabitkan tangkapan ke atas pendatang tanpa izin (PTI) warganegara Filipina berusia 3 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, kesemua yang ditahan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan kini direman bagi tindakan lanjut sebelum dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Papar.

“Serbuan sempena Ops Cantas Khas Bersepadu mencegah PTI dan setinggan itu menyaksikan pemeriksaan ke atas 149 individu dengan 141 daripadanya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah.

“Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang turut menyertai serbuan berkenaan mengambil tindakan menyenaraikan 76 rumah di perkampungan itu untuk dirobohkan selepas didapati melanggar peraturan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Chandra berkata operasi terbabit melibatkan 15 pegawai dan 177 anggota selain disertai Ketua Pengarah DBKK Datuk Yeo Boon Hai termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).