Pencuri ikan semah, sirip ikan yu dicekup

0

CURI IKAN: Suspek (kiri) ditahan di sebuah rumah di Jalan Kelupu, Bintangor malam kelmarin.

SIBU: Sebanyak 20 ekor ikan semah beku dan 10 kilogram sirip ikan yu bernilai RM30,000 antara yang dilaporkan hilang dari bahagian dapur sebuah hotel terkemuka di sini, barubaru ini.

Namun, nombor plat pendaftaran sebuah kereta Myvi yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan menjurus kepada penangkapan seorang suspek lelaki yang berjaya dicekup di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Kelupu, Bintangor.

Suspek, 40, berbangsa Cina dan berasal dari Miri dicekup oleh pasukan polis JSJ Sibu yang diketuai oleh Inspektor Bahar serta dibantu oleh dua anggota JSJ dari Bintangor pada jam 10.15 malam kelmarin.

Polis turut merampas sebuah kereta Myvi berwarna putih yang didaftar atas nama suspek sendiri dan sebuah beg pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mencuri di hotel berkenaan.

Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi Selasa lalu, seorang tukang masak memaklumkan kepada pengurus bahagian makanan dan minuman hotel berkenaan bahawa stok ikan semah dan sirip ikan yu antara yang didapati hilang di bahagian dapur.

Sejurus dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, pihak hotel telah melakukan siasatan dalaman selain memainkan semula rakaman CCTV yang dipasang di bahagian tertentu hotel berkenaan.

Setelah melihat rakaman CCTV, pihak pengurusan mendapati sebuah kereta Myvi yang mencurigakan.

Bertindak daripada maklumat berkenaan, pasukan JSJ Sibu memulakan operasi menjejaki suspek sehingga dia berjaya dicekup.

Difahamkan, suspek telah menjual hasil curinya kepada orang awam yang tidak dikenali dengan harga yang lebih rendah untuk mengaut keuntungan cepat.

Suspek kini sedang ditahan reman di lokap polis sementara kes dalam siasatan lanjut.