Sasaran 10,920 murid hafal al-Quran menjelang 2021

0

15 SMKA dan SBP terpilih lahir profesional hafal al-Quran

KUALA LUMPUR: Perlaksanaan model pendidikan Islam Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan dijangka melahirkan 10,920 murid berkebolehan menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran menjelang 2021.

Ketua Sektor Kemajuan Sekolah Agama Kementerian Pendidikan, Hassan Nudin A. Hamid berkata 15 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih di seluruh negara akan mengambil bahagian dalam usaha melahirkan modal insan profesional menghafal al-Quran.

“Perlaksanaan model pendidikan Islam ini akan melibatkan 1,092 guru tahfiz dan berdasarkan norma sementara yang diterima Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu seorang guru melatih 10 murid,” katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sekolah Aliran Tahfiz di Malaysia: Sumbangan, Cabaran Semasa dan Potensi Masa Depan’ di sini semalam.

Pembentangan kertas kerja itu dibuat pada persidangan meja bulat ‘Pertumbuhan Sekolah Aliran Tahfiz di Malaysia: Antara Aspirasi Murni dan Hakikat Sebenar di Lapangan’ anjuran Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Pada 10 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan model pendidikan TMUA dengan projek perintis di SMKA Kedah, SMKA Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Bentong.

Hassan Nudin berkata 45 guru tahfiz ditempatkan di tiga sekolah itu, dan kementerian merancang pengambilan lebih 200 guru tahfiz berkelayakan tahun depan untuk mengisi kekosongan apabila lebih banyak sekolah menyertai TMUA.

Beliau berkata perlaksanaan model pendidikan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pelajar yang mengikuti pengajian menghafal al-Quran mempunyai peluang sama rata dengan pelajar kurikulum kebangsaan semasa melanjutkan pelajaran.

“Murid yang mengikuti TMUA akan menduduki peperiksaan standard kementerian termasuk Sijil Pelajaran Malaysia dan kelayakan ini membolehkan mereka memasuki institut pengajian tinggi sama ada peringkat diploma, matrikulasi atau peringkat asasi di dalam atau luar negara,” katanya.

TMUA juga secara tidak langsung memberi alternatif kepada ibu bapa yang ingin melihat anak mereka menjadi tahfiz, namun pada masa sama menjawat jawatan profesional seperti doktor, akauntan atau jurutera, jelasnya.

Pada pembentangan kertas kerja itu, Hassan Nudin turut memaklumkan dapatan data tahun 2011 yang menyatakan terdapat 278 pusat pengajian tahfiz berdaftar di seluruh negara melibatkan 14 di bawah seliaan kerajaan pusat atau kerajaan negeri dan bakinya ialah pusat tahfiz persendirian. — Bernama