SSA hantar 13 peserta ke Kejohanan Sofbol Terbuka Kebangsaan ke-40 di Pulau Pinang

0

KUCHING: Persatuan Sofbol Sarawak (SSA) akan menghantar skuad wanita seramai 13 peserta pada Kejohanan Sofbol Terbuka Kebangsaan ke-40 yang akan diadakan di Padang Utama, Penang Free School, Pulau Pinang pada 13-14 September ini.

Antara yang terpilih tujuh atlet SUKMA dan enam atlet senior iaitu Lo Shuan Yin, Lim Shin Lui, Ling Lee Chuen, Angeliana Chew Sze Ching, Jelly Kiu Chin Chin dan Yasmin Sabreena Samson.

Manakala selebihnya Shirley Christopher Ijau, Annabelle Joy Siril, Audry Desmond Daei, Siti Nurhaliza Elvis, Nur Aisyah Mazlan, Haifa Chin Ishak dan Nadia Chin.

Skuad ini dilatih oleh Manuel Bacarisas sambil dibantu Lo Shuan Yian.

“Kita mensasarkan empat tempat teratas pada kejohanan tersebut,” jelas Pengurus Pasukan Ishak Chin Abdullah yang juga presiden SSA.

“Kita tidak mahu memberi tekanan yang tidak sepatutnya kepada pemain dengan meletakkan sasaran terlalu tinggi.

” Sarawak diundi dalam Kumpulan E dan akan membuka saingan dengan menentang tuan rumah Pulau Pinang pada pagi Sabtu ini dan Politeknik KPT di sebelah petang.

Mereka akan menutup saingan peringkat kumpulan menentang Johor pada pagi Ahad.

Selain pasukan Sarawak, Masum, Perak, Terengganu dan Selangor turut menghantar penyertaan dalam kategori wanita.

Sementara itu, beberapa pemain Sarawak yang turut terlibat ialah Greg Pengiran yang akan mewakili Pahang, Chan Kim Fong (Masum), Watson Payrie, Muhd Haziq, Nurul Natasha dan Andrea Beli (Politeknik KPT).

Kejohanan selama dua hari itu juga menjadi medan pemilihan pemain yang akan mewakili skuad kebangsaan bawah 19 tahun di Kejohanan Sofbol Wanita Asia yang akan berlangsung di Sulawesi, Indonesia pada 7-9 Disember depan.

Menurut Ishak, Haifa Chin dan Andrea Beli akan menyertai sesi pemilihan tersebut.