Jadi ratu kerana berani bermimpi

0

UNTUK KENANGAN: Dewi menandatangani buku tetamu dewan DBNA semalam sebagai tanda ingatan kunjungannya sempena majlis mengalu-alukan kepulangan Miss Malaysia World 2014 itu. Turut kelihatan (dari kanan) Mary, Manyin, Nansian dan Ik Pahon. — Gambar Jeffery Mustapha

Berangan-angan besar bakar semangat capai apa yang dikehendaki: Dewi

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Berani menyimpan angan-angan besar. Itu yang akan membakar semangat untuk mencapai apa yang dikehendaki, kata Dewi Liana Seriestha, 25, yang dinobatkan sebagai juara Miss Malaysia World 2014 sekali gus menjadikannya sebagai  gadis Bidayuh pertama pernah memenangi gelaran tersebut.

“Bagi generasi muda zaman sekarang, jangan pernah berhenti bermimpi kerana Dewi dapat sampai ke tahap ini sebab Dewi bermimpi.

“Kadang-kadang Dewi pun tak sangka dapat menang sehinggakan meremang bulu  roma apabila mengenangnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis mengalu-alukan kepulangannya di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Jalan Kumpang, di sini, semalam.

Ratusan masyarakat terdiri daripada peminat, saudara serta sahabat Dewi menyambut kedatangannya sekitar jam 2.45 petang semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin serta isteri Datin Sri Mary Manyin, Menteri Muda Pembangunan Komuniti Datuk Peter Nansian dan Pengerusi DBNA Datu Ik Pahon Joyik.

Gadis tinggi lampai setinggi 179 cm, dari Kampung Tematu Bau itu juga berbangga kerana dapat mengharumkan bukan sahaja nama kaum Bidayuh, malah nama Sarawak.

Menurut anak ketiga daripada empat adik-beradik kepada Yudhi Seriestha itu, beliau dijadualkan terbang ke United Kingdom pada 14 November untuk menjalani beberapa sesi latihan sebagai persediaan menghadapi ratu cantik antarabangsa, Miss World 2014 di London, United Kingdom.

Selain memenangi gelaran Miss Malaysia World 2014, Dewi turut berjaya meraih beberapa pingat pada kejohanan menyanyi peringkat antarabangsa pada World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, California di Amerika Syarikat pada Julai lalu.

“Tidak ramai yang dapat merealisasikan mimpi tetapi Dewi bangga kerana dapat mewakili Malaysia, dengan membawa nama Bidayuh dan Sarawak ke luar negara,” katanya.

Antara pencapaian lain Dewi dalam pertandingan ratu cantik adalah tempat kedua dalam Miss Fair and Lovely World Harvest Festival di Kampung Budaya Sarawak pada 2010, selain tempat kedua Miss Kumang Gawai Sarawak 2003.

Difahamkan, ayahnya merupakan seorang penyanyi dan pemain muzik yang bekerja di hotel manakala ibunya ialah seorang penyanyi Bidayuh era 80-an.

Bakat ibu bapanya dalam bidang muzik turut menjadikan Dewi meminati bidang seni suara apabila seawal umur dua tahun sudah berani menyanyi meskipun sebutan belum jelas.

Ajaran dalam bidang muzik dan teknik nyanyian terus diterapkan kepada Dewi pada umur empat tahun.

Ketika berumur sembilan tahun, Dewi mengikuti Pertandingan Karaoke peringkat kanak-kanak di Wisma SABERKAS Kuching dan ternyata nyanyian lagu ‘My Heart Will Go On oleh Celine Dion ternyata berjaya mencuri hati para juri.

Pada umur 11 tahun pula iatu pada 2000, Dewi yang mengikuti Pertandingan Bintang Kecil RTM peringkat Kuching dan Samarahan berjaya mendapat tempat pertama.

Bagi peringkat Sarawak, beliau mendapat tempat kedua dan peringkat kebangsaan tempat ketiga.

Beliau turut terpilih mengikuti pertandingan realiti MENTOR (TV3) ketika berumur 16 tahun, mewakili Sarawak, namun hanya mendapat kedudukan enam teratas.

Dewi yang kemudian berpindah ke Kuala Lumpur membintangi drama ‘Kembali pada 2009’ dan sebelum ‘Nilai Cinta Diana (2012)’ dan ‘Patung Cinta (2013)’.

“Saya berasa bersyukur sangat-sangat kepada Tuhan dan ibu bapa sebab dianugerahkan bakat-bakat sedemikian,” katanya.