SIBU: Tiga suspek termasuk sepasang suami isteri ditahan dan direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kes bunuh lelaki yang dikenali sebagai Ah Nong di Jalan Teruntum kelmarin.
Bagaimanapun, polis turut memburu dua lagi suspek lelaki yang dikatakan masih bebas.
Ketika kejadian, enam termasuk Ah Nong difahamkan sedang menikmati minuman keras di sebuah rumah banglo terbiar di Jalan Teruntum pada jam 3.30 petang Rabu lepas sehingga jam 1 pagi keesokan harinya.
Menurut sumber, apabila tiga lagi suspek meninggalkan rumah terbabit, mangsa dikatakan mengajak seorang suspek wanita mengadakan hubungan seks.
Apabila ketiga-tiga suspek sampai di rumah terbabit, mereka menjumpai Ah Nong dalam keadaan bogel manakala wanita terbabit masih berpakaian.
Setelah mengetahui perbuatan mangsa, suami kepada wanita terbabit meminta RM10 daripada Ah Nong untuk membeli bir namun mangsa enggan memberi duit.
Suami wanita terbabit bersama dua lagi suspek menyerang mangsa gara-gara tidak memberikan wang RM10.
Polis percaya batu yang ditemui di tepi mayat Ah Nong merupakan senjata pembunuhan berdasarkan kecederaan di kepalanya.
Mayat mangsa dijumpai di tempat parkir kereta di rumah terbabit.
Terdapat beberapa kesan darah turut dijumpai di kawasan dinding luar rumah terbabit.