Kolej Vokasional Matang ungguli KAVOT Zon Sarawak

0

KUCHING: Kejohanan Karnival Asrama Vokasional dan Teknik (KAVOT) Zon Sarawak menobatkan Kolej Vokasional Matang sebagai juara keseluruhan buat julung kalinya.

KAVOT yang diadakan di Kolej Vokasional Bintulu (KVB) itu mempertanding pelbagai acara merangkumi futsal, bola baling, catur, tilawah, dikir barat, petanque, pidato inovasi, nasyid dan nyanyian lagu asli.

Dalam kategori tilawah al- Quran yang diwakili oleh qari Muhammad Nur Eswandy Eskander Munjiri dan qariah Nurul Syaza Syukriyah Muhammad Syafiq telah mendapat johan.

Selain itu, pasukan dikir barat dan petanque juga turut berjaya merangkul gelaran johan sekali gus mengalahkan enam kontinjen lain.

Semua pemenang akan mewakili zon Sarawak ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Johor Bahru pada 15 hingga 18 Oktober ini.

Selain itu, KV Matang juga menyandang kejuaraan dalam acara Pidato Inovasi yang disampaikan oleh Muhammad Dhiyaurrahman Zairuliswandy sekali gus melayakkan beliau mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan di Kuantan, Pahang pada 9 September lalu.

Manakala dalam acara bola baling, catur dan futsal, KV Matang berjaya menduduki tempat ketiga dan keempat.

Dalam perkembangan lain, KV Matang berkesempatan menghantar tujuh pelajar bagi menyertai Pertandingan Kemahiran SM Teknik & Kolej Vokasional Peringkat Kebangsaan Kelima 2014.

Pertandingan diadakan di Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) Seberang Perai, Pulau Pinang menyaksikan KV Matang mendapat anugerah Zon Terbaik.

Bagi kategori Gegas yang diwakili oleh Aloysius Nerry Andrew sekali gus melonjakkan nama KV Matang dengan mendapat johan dan membawa pulang trofi, wang tunai bernilai RM500 serta sijil penyertaan.