Kuching julang Piala Emas

0

TAHNIAH: Taib menyampaikan trofi kepada pemain pasukan Kuching sambil disaksikan tetamu lain. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

JUARA BAHARU: Pasukan Kuching gembira selepas merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2014 di Stadium Negeri semalam. — Gambar Oleh Muhammad Rais Sanusi

 

Benam Samarahan 1-0 dalam perlawanan yang terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Tuah memihak kepada pasukan tuan rumah, Kuching apabila dinobatkan juara Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2014 menewaskan Samarahan 1-0 pada perlawanan akhir yang diberhentikan awal gara-gara hujan lebat di Stadium Negeri, di sini petang semalam.

Hujan lebat melanda bandar raya ini sejak awal perlawanan memaksa jawatankuasa penganjur memberhentikan perlawanan yang baharu berlangsung dalam tempoh 30 minit.

Kejohanan sempena sambutan perayaan Hari Jadi Tuan Yang Terutama (TYT) disaksikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Kuching menjaringkan gol tunggal perlawanan hasil sentuhan Awang Syahriman pada minit ke-20 babak pertama.

Bagaimanapun, pasukan Samarahan yang banyak melakukan serangan memiliki deretan peluang menghasilkan gol namun dinafikan oleh penjaga gol Kuching.

Jurulatih Kuching, Benjamin Omar berkata pasukannya menjalani pemilihan dan latihan sejak dua minggu untuk menghadapi kejohanan tersebut.

“Saya ternyata amat berbangga dengan kejayaan pasukan kami (Kuching) merangkul juara Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak tahun ini.

“Pasukan lawan (Samarahan) sememangnya kuat kerana sudah dua kali berturut- turut muncul juara kejohanan ini,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu juga ibarat misi membalas dendam selepas pasukan Kuching tunduk kepada Samarahan pada akhir final kejohanan ini tahun lalu.

“Pasukan Kuching memang sudah disiapkan secara rapi untuk berdepan juara bertahan (Samarahan),” ujarnya.

Lebih manis lagi pemain Kuching, Ahmad Uzair dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu.

Penjaring terbanyak pula dimenangi Elton Owen dari Mukah.

Pasukan Betong dan Mukah masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

Piala Perak menyaksikan Kapit mengalahkan Kuching 1-0 dalam perlawanan akhir semalam.

Sebelum perlawanan akhir menyaksikan acara memotong kek Hari Jadi Yang di- Pertua Negeri diadakan.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan isteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu.