Usaha bina rumah golongan miskin disokong

0

KAMI BERSEDIA: Fatimah (tengah) merakam kenangan bersama penganjur serta pihak penaja program Borneo Blitz Build 2014 di Kuching, malam kelmarin.

Kerajaan sambut baik usaha HFH bina 14 rumah berkembar setingkat di bawah Program Borneo Blitz Build

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Pembinaan 14 rumah berkembar setingkat di bawah Program Borneo Blitz Build 2014 di Jalan Stephen Yong, di sini dijangka siap dalam masa enam hari bermula semalam hingga 19 September (Jumaat) ini.

Pembinaan tersebut merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh sebuah pertubuhan perumahan berkonsepkan bukan mencari keuntungan, Habitat For Humanity (HFH) Malaysia termasuk HFH Malaysia Cawangan Kuching.

Selain itu, ia sejajar dengan usaha sama bagi membantu kerajaan meringankan beban golongan miskin.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya menyambut baik usaha murni tersebut memandangkan tahap kemiskinan di Sarawak masih berada pada paras paling tinggi berbanding negeri lain di seluruh negara iaitu membabitkan 102,225 ketua isi rumah (KIR) setakat September tahun ini.

“Kita semua sedia maklum, negeri ini masih mencatat kadar kemiskinan yang paling tinggi di seluruh Malaysia.

“Justeru, saya yakin inisiatif pembinaan rumah seperti di bawah program Borneo Blitz Build 2014 di atas keluasan tanah 1.25 ekar ini mampu membantu sedikit sebanyak jumlah KIR benar-benar keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Borneo Blitz Build 2014 bersama penaja dan sukarelawan di Hotel Imperial di sini, malam kelmarin.

Sementara itu, Presiden HFH Malaysia Cawangan Kuching David Kiu berkata, misi HFH tertumpu kepada usaha menyediakan tempat perlindungan seperti rumah yang mempunyai kualiti dan baik.

“Borneo Blitz Build adalah satu usaha sama dengan misi ingin membantu golongan miskin.

“Saya gembira kerana HFH dapat bertindak sebagai pemangkin dan pemudah cara untuk menyatukan rakan korporat, sukarelawan dan komuniti bagi menjayakan projek yang menyediakan perumahan mampu milik yang baik,” katanya.

Setiap rumah berukuran 600 kaki persegi, masing-masing dengan tiga bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah dapur dan sebuah bilik mandi itu akan dibina secara kerjasama oleh keluarga pemilik rumah, sukarelawan tempatan dan asing di bawah bimbingan pekerja mahir HFH.

Sukarelawan daripada semua lapisan masyarakat seperti pelajar, belia, profesional dan pasukan korporat merupakan elemen penting untuk menjayakan projek tersebut.

Justeru, setiap lapisan masyarakat yang berminat menjadi sukarelawan bagi membantu menyiapkan rumah tersebut bolehlah mengajukan pertanyaan ke alamat e-mel [email protected] atau hubungi Ivy Liding di talian 082-429700.

Turut hadir beberapa tetamu yang mewakili organisasi yang telah memberi sumbangan kepada projek tersebut iaitu Timbalan Pengarah Urusan Naim Holdings Berhad Christina Wong, Pegawai Komunikasi Perbadanan Cahaya Mata Sarawak Shirley Ann Clarke dan Ketua Komunikasi Procter & Gamble Zulhaimi Abdul Hamid.