Banyak cara untuk tingkatkan pembangunan negeri: Fatimah

0

KUCHING: Rakyat Sarawak perlu bersikap realistik dan pragmatik bahawa masih terdapat banyak cara untuk meningkatkan pembangunan negeri ini, bukannya dengan terus membangkitkan sentimen mahu keluar dari Malaysia.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, banyak faktor perlu diambil kira apabila mahu berdiri sendiri dan menjadi sebuah negara.

Justeru, beliau mahu setiap perkara yang disuarakan itu khasnya untuk membentuk negara sendiri perlu dinilai semula dengan sebaiknya.

“Lihat dahulu apa refleksinya kepada Sarawak dan apa yang kita capai hari ini.

Kita tahu masih banyak yang perlu dipertingkatkan tetapi ada caranya.

“Sebab itulah cara terbaik untuk memenuhi kehendak memiliki prasarana, kesihatan, perumahan dan pendidikan yang setaraf dengan negeri lain adalah bekerjasama untuk meningkatkannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan Jawatankuasa Olimpik Khas Malaysia Sarawak 2014 di pejabatnya di sini, semalam.

“Dalam masa kita menyuarakan mahu keluar daripada Malaysia, kita perlu bertanya kepada diri sendiri terlebih dahulu, adakah kita sudah bersedia? “Kita juga perlu membuat timbang balas iaitu kebaikannya apabila kita masih berada dalam Malaysia seperti sekarang ini.

“Pasti kita tidak dapat menafikan bahwa kemajuan yang kita capai di Sarawak hari ini adalah disebabkan kita berada dalam Malaysia selama ini,” jelasnya.

Justeru, beliau sekali lagi menasihatkan agar masyarakat di negara ini untuk meningkatkan lebih persefahaman dan bukannya mengikut emosi.