Dikhuatiri Ebola

0

Oleh Rusnan Mustafa//

Pelajar dari Zimbabwe kini ditempatkan di wad pengasingan HUS.

KUCHING: Seorang pelajar dari Zimbabwe berusia 24 tahun yang menuntut di sebuah universiti swasta di sini kini ditempatkan di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk disiasat kerana dikhuariti dijangkiti virus Ebola.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil menjelaskan, pelajar terbabit masih diletakkan di bawah pengawasan rapi dan siasatan lanjut.

“Saya ingin membuat satu penjelasan terhadap perkara ini agar orang awam tidak terlepas daripada sebarang maklumat bahawa seorang pelajar dari Zimbabwe yang menuntut di universiti swasta di sini kini diletakkan sebagai orang di bawah siasatan kerana dibimbangi dijangkiti Ebola.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menganggap dia disyaki kerana belum ada pengesahan hasil ujian yang dijalankan terhadap pelajar terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, semalam.

Dr Jerip memberitahu, keputusan ujian makmal terhadap pelajar Zimbabwe itu hanya akan diketahui dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Pelajar ini diletakkan di bawah orang yang sedang disiasat dan hasil keputusan ujian makmal yang memakan tempoh satu hingga dua minggu akan dimaklumkan sebaik sahaja kita mendapat keputusannya,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai pelajar itu, beliau berkata, beberapa rakan rapat pelajar terbabit dari Nigeria dikatakan baharu sahaja pulang dari negara asal mereka.

Namun, jelasnya, rakan rapat pelajar terbabit tidak mengalami sebarang simptom berkaitan virus Ebola itu dan kesemua mereka dalam keadaan yang sihat.

“Difahamkan, empat atau lima rakan pelajar terbabit yang berasal dari Nigeria baharu sahaja pulang ke kampus selepas balik ke negara asal masing-masing.

“Disebabkan kita sedia maklum bahawa Nigeria antara negara yang dikesan mempunyai wabak Ebola ini, kita mengambil langkah keselamatan awal untuk memastikan sesiapa sahaja individu yang diletakkan di bawah siasatan bebas mempunyai wabak ini,” jelasnya lagi.

Malah menurut, Dr Jerip, pelajar Zimbabwe itu dikatakan mengalami demam panas dan batuk tetapi tidak mengalami cirit-birit dan muntah yang mana antara tanda jangkitan Ebola ialah demam, sakit tekak, sakit otot dan sakit kepala.

“Sebelum ini dia dihantar di sebuah hospital swasta di sini sekitar malam semalam (kelmarin) sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dan ditempatkan di wad pengasingan kerana dia masih dipercayai bukan disyaki,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta orang ramai tidak panik terhadap berita yang disebarkan di laman sosial Facebook kerana ia masih lagi disiasat.

“Apapun kita sudah melakukan pengasingan dan pesakit dalam pengawasan kini dan kita masih belum dapat mengesahkan ia sebagai virus Ebola atau tidak,” tegasnya.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata, kes itu masih dalam siasatan dan menunggu hasil ujian makmal.

Penularan pertama demam virus Ebola bermula Februari lalu di Guinea, Afrika Barat. Ia kemudian merebak ke Liberia, Sierra Leone dan kini ke Nigeria.

Wabak yang pantas merebak itu berkemungkinan menular ke England, ketika 30,000 individu disyaki dijangkiti. Ia mula membunuh apabila seorang warga Amerika Syarikat maut di Nigeria dan dua lagi maut di Amerika Syarikat. Ia kini menjadi wabak global.