MetroCity Square dirancang holistik, liputi pelbagai aspek masyarakat

0

TERMETERAI: Adenan (tengah) menyaksikan Chong (tiga kiri) dan Ling (empat kanan) bertukar MoU bagi projek MetroCity Square, semalam. Turut kelihatan Morshidi (tiga kanan), Daud (empat kiri), Abdul Wahap (dua kiri) dan tetamu kehormat lain. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Projek pembangunan bandar baharu metropolitan di Matang, MetroCity Square dilancarkan secara rasmi semalam dengan menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara dua syarikat pelaksana iaitu CKH Realty Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Boulevard.

Majlis yang berlangsung di Hotel Imperial di sini disempurna serta disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi merangkap Pengarah Urusan CKH Realty Chong Kia Hoi berkata, Met roCity telah dirancang secara holistik menggunakan pendekatan pembangunan yang meliputi keperluan fizikal, social dan rohani serta aspek masyarakat.

“Selain bangunan komersial dan kediaman, bandar baharu MetroCity juga akan mempunyai dewan serbaguna, masjid, gereja, kolej swasta, pusat perubatan swasta dan banyak lagi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek MetroCity Square, semalam.

MetroCity Square yang bernilai RM250 juta sedang dibangunkan oleh CKH Realty Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Boulevard di tapak seluas 183 ekar di Jalan Matang, di sini.

“MetroCity adalah langkah pertama kami dalam mewujudkan daerah perniagaan berpusat di Matang,” tambah Chong.

Turut hadir isteri Adenan Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Daud Abdul Rahman, Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Boulevard Tan Sri Ling Chiong Ho serta Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.