Pinjam RM8,000 dipaksa bayar RM20,000

0

Oleh Michael Ubam

TUNTUT: Kertas yang ditulis dengan pensel menunjukkan jumlah yang perlu dibayar segera oleh pengadu.

Pengadu dilayan kasar dan dipukul ketika meminta penjelasan dari syarikat pinjaman 

SIBU: Seorang lelaki yang meminjam RM8,000 daripada sebuah syarikat pinjaman berlesen dipaksa membayar lebih kurang RM20,000 selepas bayarannya tertangguh selama lebih setahun.

Menurut pengadu, seorang pemandu berusia 49 tahun, pembayaran pinjamannya mula terjejas dan tidak konsisten sejak beliau mengalami kemalangan jalan raya sebelum ini.

“Disebabkan kemalangan itu, saya mengalami patah kedua-dua tulang bahu dan tidak dapat bekerja seketika. Keadaan itu memaksa saya sukar membuat pembayaran yang konsisten,” kata pengadu bekerja semula sejak November tahun lalu.

Pada awal September lalu, syarikat terdahulu telah diambil alih oleh syarikat baharu tanpa pengetahuan pengadu.

Katanya, beliau terkejut apabila mendapati jumlah tunggakannya mencecah sehingga RM20,000.

Tidak berpuas hati dengan jumlah tunggakan yang melonjak tinggi, pengadu terus pergi ke pejabat syarikat itu untuk meminta penjelasan.

Apabila beliau berada di pejabat syarikat pinjaman itu, beliau bukan sahaja dilayan secara kasar malah dipukul dengan tangan dan surat khabar dan memintanya membuat bayaran segera sejumlah RM12,000 sebelum 16 September ini (hari ini).

“Saya diugut supaya melangsaikan hutang dengan kadar segera, malah mereka juga memaksa saya menyerahkan geran kereta jika tidak mahu menanggung risiko,” katanya.

Menurut pengadu, beliau telah berusaha membayar ansuran bulanannya sejak bekerja semula.

Katanya, beliau juga dibantu oleh isteri yang bekerja sebagai atendan stesen minyak untuk menyara keluarga.

“Saya masih boleh terima jika kad pesara dan kad ATM ditahan oleh pihak syarikat itu, tetapi ia seolah mencekik darah jika dipaksa membayar RM12,000 dalam sekelip mata,” katanya.

Oleh demikian, pengadu dan isterinya membuat laporan polis di Balai Polis Sentral mengenai insiden itu pagi semalam.