Pelihara sejarah kegemilangan penyatuan rakyat

0

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus memelihara sejarah kegemilangan penyatuan rakyat di negara ini.

Beliau berkata rakyat boleh berbangga kerana penyatuan negeri-negeri di Semenanjung tanah air dengan Sabah dan Sarawak berjaya melahirkan negara Malaysia yang unik, harmoni dan pesat membangun.

“Setiap pembangunan serta kecemerlangan yang kita nikmati sekarang mesti diteruskan atas semangat 1Malaysia.

“Hanya keharmonian dan toleransi yang menjadi tunjang serta tonggak untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang utuh, wibawa dan dihormati,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Malaysia ke-51 semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata semua anasir yang mahu menggugat penyatuan yang terjalin selama 51 tahun lalu mesti ditangani bersama-sama, dengan asas paling penting yang perlu dipupuk adalah keharmonian dan toleransi penduduk berbilang kaum.

“Saya amat percaya bahawa perjalanan kita untuk membangunkan Malaysia menuntut penglibatan semua rakyat,” kata Muhyiddin.

Jelas beliau kemajuan yang dinikmati pada masa kini tidak dapat dicapai tanpa gandingan rakyat dan kerajaan yang mantap, dan ia mesti diteruskan supaya Malaysia terus membangun dan gemilang.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Dataran Kipas di Miri, Sarawak semalam turut menggunakan tema Hari Kemerdekaan ke-57 ‘Malaysia…Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ kerana ia bersifat universal untuk seluruh rakyat Malaysia. — Bernama