Tidak berpatah balik

0

KIBAR: Barisan pemimpin tertinggi negara dan negeri mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis sambutan Hari Malaysia Ke-51 di Miri, malam tadi. (Dari dua kiri) Adenan, Muhyiddin, Najib, Tun Abdul Taib dan isteri, Ragad serta Rosmah.

MIRI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin rakyat di Sarawak dan Sabah tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat oleh generasi terdahulu sejak 51 tahun lalu.

Katanya, setelah perjalanan jauh dilalui kedua-dua negeri ini dalam Malaysia, rakyat di Sarawak dan Sabah tidak akan berpatah balik kerana mampu mengecapi banyak pembangunan hasil pembentukan Malaysia pada 16 September, 1963.

“Saya berbangga kerana hari ini rakyat Sarawak mengatakan, Sarawak dapat menikmati banyak rahmat sejak ia merdeka dalam Malaysia. Dan, kemerdekaan itu perlu dipertahankan.

“Dalam hati sanubari saya juga percaya, sebahagian besar orang Sarawak dan Sabah berkata, mereka tidak menyesal keputusan yang telah dibuat 51 tahun lalu,” katanya.

Justeru, Najib menegaskan, sebagai Perdana Menteri, beliau memberi jaminan akan mempertahan kedaulatan di Sarawak dan Sabah dalam Malaysia.

“Kalau ada pihak yang cuba menggugat kedaulatan dan keselamatan rakyat kita (di Sarawak dan Sabah), maka kita akan mengambil tindakan tegas membawa mereka berdepan kedaulatan undang-undang, kerana kita cinta akan negara Malaysia ini,” katanya.

Berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia Ke-51 yang berlangsung di Dataran Kipas Miri di sini malam tadi, Najib memberi jaminan kerajaan pusat akan mempertimbang permintaan kedua-dua negeri ini untuk menambahkan pendapatan mereka hasil daripada royalti minyak.

Katanya, sebagai sebuah keluarga besar dalam Malaysia, perkara seumpama itu boleh dibawa ke meja rundingan untuk dipertimbang secara aman.

“Malah, kita akan terus mara ke hadapan, semakin membangun. Apa yang kurang di Sarawak dan Sabah, akan kita tambah dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Mengenai perdebatan isu sama ada negara perlu menyambut 31 Ogos atau 16 September, Najib menegaskan, kedua-dua tarikh bersejarah itu tetap akan disambut.

“Kita akan terus menyambut 31 Ogos kerana ia tarikh keramat. Namun mulai tahun depan, kita tidak lagi mengggunakan angka kerana ia akan menjadi perdebatan di Sabah dan Sarawak.

“Manakala 16 September tetap kita sambut kerana ia hari lahirnya negara kita, Malaysia. Sementara itu, cuti umum sempena 16 September akan dikekalkan,” tambahnya sambil mendapat tepukan gemuruh lebih 20,000 orang yang hadir pada malam tadi.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis yang sama, Adenan menyelar segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba membawa pemikiran negatif dengan menghasut rakyat Sarawak agar keluar dari Malaysia.

“Jangan cuba bawa pemikiran negatif ke sini kerana kami tetap 1Malaysia,” tegasnya.

Menurut Adenan, sejak penubuhan Malaysia 51 tahun lalu, banyak pembangunan berlaku di Sarawak sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Manakala rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum terus dapat hidup dalam keadaan harmoni, aman dan damai.

Sehubungan itu, Adenan menggesa rakyat di negeri ini agar mengekalkan perpaduan sedia ada untuk memastikan keharmonian serta pembangunan yang dinikmati sekarang dapat diteruskan pada masa akan datang.

Majlis sambutan Hari Malaysia Ke-51 malam tadi dirasmi oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Toh Puan Ragad Kurdi Taib, isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Adenan Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman serta menteri kabinet Persekutuan, menteri kabinet Sarawak.