Tiga kelasi disyaki curi diesel dicekup

0

DICEKUP: Tiga suspek tersebut dieskot oleh Inspektor Bahar ke Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut semalam.

SIBU: Tiga kelasi kapal dicekup polis selepas disyaki mencuri kira-kira 2,000 liter minyak diesel dari tangki minyak kapal tunda milik majikan mereka, awal pagi semalam.

Menurut laporan, minyak diesel berkenaan dipercayai dipam keluar ke tangki minyak kapal lain yang membeli minyak itu.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya menjejaki ketiga-tiga suspek berumur 25 hingga 27 tahun semasa mereka bersiar-siar di kawasan bandar sekitar tengah hari semalam.

Kesemua mereka berbangsa Melanau dan berasal dari Kampung Pergau, Matu.

Kecurian itu dipercayai berlaku selepas kapal tunda tersebut berlabuh di dermaga kapal di hulu Lanang pada jam 5.30 petang Sabtu lalu.

Difahamkan, salah seorang suspek mengemudi kapal tunda tersebut ke Dermaga Bot Ekspres Kapit sebelum mereka mengepam minyak diesel itu ke tangki minyak sebuah kapal lain yang belum dikenal pasti.

Polis percaya ketiga-tiga suspek itu menerima sejumlah wang daripada pembeli minyak curi tersebut selepas proses mengepam minyak selama satu jam setengah selesai.

Mereka juga dipercayai cuba menyogok seorang kelasi kapal yang baharu tiga hari bekerja di situ tetapi ditolaknya kerana enggan bersubahat dengan mereka.

Difahamkan, kelasi baharu itu turut diugut keselamatannya oleh ketiga-tiga suspek agar tidak membocorkan rahsia mereka.

Selepas insiden itu, mereka tidak muncul-muncul di kapal tunda terbabit sehinggalah dicekup di kawasan bandar tengah hari semalam.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu, terutamanya menjejaki pembeli minyak diesel curi itu.