60 pelajar sertai Klinik Pengenalan Sukan Berbasikal 2014

0

KUCHING: Seramai 60 pelajar berumur 13-15 tahun menyertai Klinik Pengenalan Sukan Berbasikal 2014, Unit Sukan Prestasi Tinggi Sarawak (USPTN) yang diadakan pada 15-16 September di SMK Semerah Padi.

Ia anjuran bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Cawangan Pelapis Negara, Persatuan Berbasikal Sarawak dan SMK Semerah Padi.

Program dikendalikan oleh Ketua Jurulatih skuad berbasikal Sarawak Dzulkaflee Hassan sambil dibantu jurulatih USPTN Faizal Dzulkaflee, Awang Rosli Awang Jamain dan Azami Kipli.

Menurut Dzulkaflee, program selama dua hari itu bertujuan mencungkil pelumba baharu untuk diserap dalam projek negeri bagi 2016 hingga 2018.

Tambahnya, program tersebut merangkumi ujian kecergasan yang dikendalikan oleh Institut Sukan Negara (ISN) Cawangan Sarawak pada hari pertama.

Manakala pada hari kedua, peserta didedahkan dengan ceramah teknikal dan praktikal sukan berbasikal.

“Kita berjaya mengenal pasti beberapa pelumba muda yang berbakat menerusi program ini.

“Ia akan diteruskan lagi di masa akan datang agar kita dapat mencari ramai lagi pelumba muda yang berpotensi,” katanya.