IPD Kapit ungguli Futsal Piala Merdeka

0

KAPIT: Pasukan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kapit muncul johan Kejohanan Futsal Piala Merdeka 2014 selepas menewaskan pasukan Naga Asmara FT menerusi sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat 2-2 pada perlawanan final yang berlangsung 14 September lalu.

Dengan kemenangan itu, IPD Kapit membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta piala pada kejohanan yang diadakan mulai 12 September di Stadium Bleteh di sini.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh skuad Pippercross V-Pes yang menewaskan Legend Status pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sebanyak 27 pasukan mengambil bahagian pada kejohanan tersebut yang mendapat sambutan amat menggalakkan.

Ketika ditemui, Presiden Hulu Rejang United (HRU) FC Kennedy Kuyang selaku pengerusi penganjur kejohanan memberitahu, beliau berpuas hati dengan penganjuran kejohanan yang julung kali dianjurkan oleh HRU FC.

“Untuk tahun depan, kita akan menambah hadiah wang tunai dan kita akan mengenal pasti semua aspek bagi meningkatkan lagi status kejohanan ini.

“Sehubungan itu, saya mewakili jawatankuasa penganjur ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kejohanan ini,” ujarnya.

Hadir sama bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Hulu Rejang Wilson Ugak Kumbong, iaitu Johnny Osman selaku Penasihat Hulu Rejang United FC.