Padah degil, bekalan elektrik premis judi siber diputuskan

0

LIMBANG: Padah enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan, dua premis judi siber di daerah ini terpaksa ‘bergelap’ dan ‘berpanas’ apabila bekalan elektrik diputuskan di premis terbabit berkuat kuasa semalam.

Wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai, Inspektor Ahmad Iswaizani berkata tindakan tegas itu terpaksa diambil berikutan keengganan pemilik premis yang masih melakukan aktiviti haram meskipun serbuan dibuat dan amaran sudah diberikan.

“Pemotongan bekalan elektrik di dua premis judi siber di daerah ini adalah tanda amaran keras polis terhadap pemilik atau penjaga premis yang masih berdegil melakukan aktiviti judi siber,” ujarnya selepas taklimat pemotongan bekalan elektrik di pejabat SESCo Limbang semalam.

Turut hadir Jurutera SESCo Bahagian Limbang Tony David.

Ahmad menjelaskan, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas semaksimum mungkin terhadap pemilik premis judi siber yang masih menjalankan aktiviti tersebut, termasuk memotong bekalan elektrik di premis berkenaan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kita akan meneruskan serbuan dalam usaha menangani gejala judi siber di daerah ini,” katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan pemotongan bekalan elektrik terbabit yang dilaksana buat pertama kalinya, Ahmad berkata pemilik premis boleh membuat permohonan semula dalam tempoh dua hingga tiga bulan, tetapi dengan kebenaran KPD Limbang.

Beliau memberitahu, sebanyak 50 serbuan telah dilakukan pihak polis dan lebih 200 unit komputer serta perkakas yang dipercayai mengandungi perisian judi siber dirampas dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

“Jumlah ini menunjukkan polis serius dan tidak pernah tutup mata dalam menangani kegiatan judi siber seperti yang didakwa sebelum ini.

“Operasi dan serbuan akan diteruskan dari masa ke masa dan kita memohon orang ramai agar menyalurkan maklumat mengenai kegiatan itu kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.