Pelanggan kesal syarikat telefon gagal kesan transaksi bayaran

0

SIBU: Seorang lelaki membuat laporan polis selepas bil telefon pascabayar yang sudah dijelaskan bayarannya lewat Ogos lalu masih disekat panggilan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

Sebelum ini, pada 26 Ogos lalu, pengadu, 33, membuat pembayaran penuh sebanyak RM149 di sebuah premis syarikat telekomikasi di Jalan Keranji di sini.

Bagaimanapun, dia terkejut kerana tidak dapat membuat panggilan menggunakan telefon bimbitnya pada 15 September lalu.

Pengadu bersama isterinya kemudiannya pergi ke syarikat telekomunikasi terbabit bagi mendapatkan penjelasan daripada kakitangan di situ.

Pengadu turut hairan apabila diberitahu bil telefonnya belum dijelaskan pembayarannya.

Menurut kakitangan syarikat berkenaan, sistem tidak menunjukkan sebarang transaksi pembayaran pada tarikh yang didakwa.

Ketika itu, dia terlupa membawa resit pembayaran untuk ditunjukkan kepada kakitangan berkenaan sebagai bukti.

Tidak berpuas hati dengan layanan diterima, pengadu pulang ke rumah untuk mencari resit dan menjumpainya.

“Saya kesal bagaimana syarikat telekomunikasi canggih gagal mengemas kini bayaran pelanggan dan tidak dapat mengesan transaksi dibuat,” katanya.

Menurutnya, seorang jirannya juga mengalami masalah sama tetapi tidak membuat laporan polis.

Selepas membuat laporan polis dibuat, pengadu sekali lagi pergi ke premis syarikat itu untuk memberi resit bayaran sebagai bukti pembayaran.