Pesta Sukan SAKSI IPG Zon Sarawak telah berlangsung dengan jayanya

0

KOTA SAMARAHAN: Pesta Sukan SAKSI IPG Zon Sarawak yang diadakan pada 13 hingga 15 September lalu di IPG Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) telah berlangsung dengan jayanya dengan disertai kontinjen-kontinjen dari setiap IPG Zon Sarawak dan sebuah IPG jemputan dari Keningau, Sabah.

Acara pembukaan menyaksikan empat acara olahraga dilangsungkan iaitu 50 meter lelaki dan wanita, 100 meter lelaki dan wanita, 4 X 50 meter lelaki dan wanita serta 4 X 100 meter lelaki dan wanita.

Selepas itu, acara diteruskan dengan pertandingan bola jaring wanita di mana ia telah dimenangi oleh IPG Kampus Batu Lintang manakala tempat kedua IPG Kampus Tun Abdul Razak dan ketiga IPG Kampus Rajang.

Selain itu, turut diadakan ialah permainan bola sepak, petanque, bola tampar, dart, sepak takraw, badminton dan tenis.

Sementara, acara penutupan rasmi pada 15 September telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pertanian(Penyelidikan dan Pemasaran) merangkap Penaung Kelab Kebajikan dan Sukan Staf Sokongan IPGKTAR Datuk Mong Dagang.

Justeru, Mong berharap agar aktiviti tersebut diteruskan pada tahun depan di mana ia dijangka dikelolakan oleh IPG Kampus Rajang.

Sehubungan itu, beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Kelab KKRSS IPGKTAR untuk menjalankan aktiviti sepanjang tahun ini dan sebagai bekalan untuk ke pesta SAKSI 2015 di IPG Kampus Rajang.

“Saya berharap aktiviti ini akan terus dijalankan agar ia dapat meningkatkan semangat setiakawan antara IPG Zon Sarawak dan juga dapat menjadikan staf sokongan setiap IPG sentiasa mengamalkan budaya kerja cemerlang,” katanya.

Sempena majlis perasmian tersebut, Mong turut menyempurnakan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Battle Of The Band SAKSI 2014 dan pemenang keseluruhan untuk SAKSI 2014.

Dalam pertandingan Battle Of The Band, tempat pertama telah dimenangi oleh “Band Otai Masih Berbisa” dari IPG Tun Abdul Razak manakala tempat kedua diduduki oleh “The Batu Lintang Band” dari IPG Kampus Batu Lintang dan ketiga dimenangi oleh “IPG Sarawak Band” dari IPG Kampus Sarawak.

Sementara bagi Kategori keseluruhan, johan telah disandang oleh IPG Kampus Batu Lintang dengan membawa balik piala pusingan serta piala iringan.

Tempat kedua pula disandang oleh IPG Kampus Tun Abdul Razak manakala tempat ketiga IPG Kampus Sarawak, keempat IPG Kampus Rajang dan kelima IPG Kampus Keningau.