Sofbol: Sarawak lakar kejutan

0

Oleh Harry Ilias //

Skuad sofbol wanita duduki tempat ketiga pada Kejohanan Sofbol Terbuka Kebangsaan

KUCHING: Skuad sofbol wanita Sarawak melakar kejutan setelah merangkul tempat ketiga pada Kejohanan Sofbol Terbuka Kebangsaan ke-40 yang berlangsung di Padang Utama, Penang Free School pada 13 September lalu.

Sarawak yang diundi dalam Kumpulan E bermula hambar apabila ditewaskan Pulau Pinang 0-24 namun bangkit dengan menewaskan Politeknik KPT 15-0 pada perlawanan kedua.

Mereka kemudiannya menundukkan Johor 11-1 sebelum mengatasi Perak 6-0 pada peringkat separuh akhir.

Impian Sarawak untuk bergelar juara bagaimanapun disekat Masum pada peringkat akhir apabila tewas tipis 2-3.

Meskipun sekadar menduduki tempat ketiga, ia tetap pencapaian yang cukup membanggakan sepanjang penyertaan Sarawak dalam kejohanan kebangsaan terbuka sejak 2006.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan kejayaan skuad sofbol wanita kita menduduki tempat ketiga pada tahun ini,” jelas Presiden Persatuan Sofbol Sarawak (SSA) Ishak Chin Abdullah ketika dihubungi semalam.

“Sejak lima tahun lalu, skuad kita hanya berada dalam kedudukan lima terbaik sejak lima tahun lalu.

“Ia kejayaan yang amat bermakna bagi saya setelah berusaha keras selama sembilan tahun membangunkan sukan ini dan segala penat lelah kita telah menunjukkan hasil yang memuaskan.”

Ishak juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Manuel Bacarisas yang banyak membantu melatih atlet negeri termasuk barisan jurulatih SSA, Kolej Vokasional, Kolej Tunku Bujang, SMK St Columba dan kelab yang turut sama dalam program pembangunan sukan sofbol negeri selama ini.

Beliau menambah, banyak lagi tugas yang perlu dilakukan terutama dalam memantapkan skuad sofbol lelaki di mana pencapaian terbaik hanyalah pada peringkat suku akhir.

“Program pembangunan sofbol bawah 12 tahun di semenanjung jauh lebih terancang berbanding dengan kita menyebabkan saingan sangat sukar.

“Semua jurulatih di sana memberi latihan asas yang betul kepada atlet mereka manakala di sini sesetengah atlet diajar teknik yang salah,” katanya.

Menurut Ishak, SSA berdepan kesukaran untuk melatih atlet yang berpotensi namun telah biasa dengan corak latihan yang salah.