Penantian balu Meling berakhir

0

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud

BERSYUKUR: Simbut (dua kiri) bersama tiga anaknya, Gabriel, Maryline dan Benedict bersyukur kerana mendiang suaminya telah dikenal pasti dan akan dibawa balik ke Bintulu tidak lama lagi.

Simbut syukur mayat sudah dikenal pasti, akan pulang tidak lama lagi

BINTULU: Penantian dan doa isteri supaya mayat sua­minya yang terlibat nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 berakhir apabila pakar fo­rensik di Belanda mengenal pasti mayat mangsa.

“Saya bersyukur kerana mayat suami telah dijumpai dan dikenal pasti,” kata Sim­but Kedit, 39, balu Meling Mula, 48, yang terkorban bersama-sama 297 anak kapal dan penumpang lain dalam nahas yang berlaku pada 17 Julai lalu di timur Ukraine.

Katanya, urusan perse­madian mendiang suaminya diserahkan kepada Pejabat Residen Bintulu.

“Saya belum mengetahui lagi bila suami akan dibawa balik ke Bintulu. Mungkin dalam tempoh satu atau dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai berita berhubung pakar forensik di Belanda yang telah mengenal pasti mayat Meling, semalam.

“Saya bersyukur kerana suami dapat dibawa balik ke Bintulu dan akan disemadi di Batu 2, Jalan Bintulu-Miri di sini,” jelasnya. Mendiang Meling merupakan pekerja luar pantai di Venezuela untuk syarikat perancah yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Meling berasal dari Betong meninggalkan seorang balu, Simbut Kedit yang berasal dari Sungai Arip, Balingian dan tiga anak, Maryline Sindun, 18, Benedict Bana, 15 dan Gabriel, 8. Mereka tinggal di Flat Sungai Plan Tanjung Kidurong.

Simbut semasa ditemui se­belum ini berkata, suaminya telah dua tahun enam bulan bekerja di luar negara dan kali terakhir balik ke Bintulu pada April lalu.

Katanya, suaminya balik dari luar negara sekali dalam tiga bulan, ketika kejadian Meling dijadual balik dua minggu lebih awal untuk bercuti selama dua bulan setengah.

“Bagaimanapun, tiada siapa menyangka, itu pemergian­nya untuk selama-lamanya,” katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menerusi kenyataan akhbar kelmarin berkata, pakar forensik Belanda turut men­genal pasti empat lagi mangsa rakyat Malaysia lain iaitu Liew Yau Chee, Tan Siew Poh, Metthew Ezekial Sivag­nanam dan Lee Kiah Yeen.

Bagaimanapun, pelepasan semua jenazah mangsa masih belum diumumkan oleh pihak berkuasa Belanda.

Pesawat Boeing 777 yang membawa seramai 283 pe­numpang dan 15 anak kapal itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dilaporkan ditembak jatuh pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) Khamis 17 Julai lalu di timur Ukraine.

Penerbangan itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 6.10 pagi Jumaat (waktu Malaysia).