Hasrat anak kapal terima sedekah al-Fatihah seluruh dunia tercapai

0

SEPANG: Anak kapal Malaysia Airlines (MH17) Shaikh Mohd Noor Mahmood sepatutnya bertugas dalam penerbangan MH370, namun ‘masanya’ belum tiba apabila beliau ditugaskan ke penerbangan lain pada hari pesawat itu hilang 8 Mac lepas.

Ketika mendengar perkhabaran kehilangan pesawat M370 itu, Shaikh Mohd Noor, 44, berulang kali menyatakan penumpang pesawat itu bertuah kerana seluruh dunia merasai kehilangan terbabit dan menyedekahkan al-Fatihah kepada mereka.

Rentetan itu, Shaikh Mohd Noor menyatakan beliau berharap dapat menemui ajalnya semasa berada dalam penerbangan, supaya beliau juga menerima sedekah al-Fatihah yang sama’.

Hasrat itu dikongsikan dua rakan beliau, Mohd Fahmi Ariffin dan Mohd Yazid Yusuf, kedua-duanya berusia 39 tahun, yang mula mengenali Allahyarham semasa mereka menyertai syarikat penerbangan itu, lebih 18 tahun lalu.

“Meskipun sedih, saya merasakan hasrat beliau (Shaikh Mohd Noor) untuk meninggal dalam pesawat dan menerima sedekah al-Fatihah seluruh dunia terlaksana,” kata Mohd Yazid semasa ditemui pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Shaikh Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai ‘Mad Noor’ dalam kalangan anggota keluarganya terbunuh apabila penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Penerbangan MH17 membawa 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 43 warganegara Malaysia.

Seorang lagi rakan, Mohd Fahmi Arifin ketika ditemui, sebak apabila diminta berbicara mengenai Shaikh Mohd Noor dan menyifatkan Allahyarham seorang individu yang sangat baik.

Mohd Yazid pula menyifatkan Allahyarham sebagai suka senyum dan pendiam, namun tidak ‘senang duduk’ apabila mengetahui terdapat rakan yang sedang bersedih atau susah hati.

“Beliau pasti akan menghampiri kami dan bertanyakan jika kami mempunyai masalah. Beliau banyak bertanya tentang rakan-rakan,” katanya sebelum bergegas bersama-sama Mohd Fahmi untuk menghadiri majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Sungai Jati, Kampung Jawa, Klang, dekat sini.

Sementara itu, beberapa anggota keluarga Shaikh Mohd Noor hadir ke istiadat penghormatan itu dengan memakai baju-T hitam tertera perkatan “In our heart cabin crew Shaikh Mohd Noor 17.07.14.” — Bernama