Kes bunuh dipindah ke mahkamah tinggi

0

KE MAHKAMAH TINGGI: Zulkipli diiringi anggota polis keluar dari kamar Mahkamah Majistret Kuching, semalam.

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan perbicaraan kes bunuh pelajar perubatan warga Britain dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Zulhairil Sulaiman membuat keputusan itu selepas menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mirza Mohamad.

Dalam kes itu, seorang penjual ikan, Zulkipli Abdullah, 23, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dua pelajar terbabit.

Sebelum ini, tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh yang berdepan dua tuduhan kerana membunuh Aidan Brunger, 22, dan Neil Dalton, 23, antara jam 4.10 pagi dan 4.15 pagi 6 Ogos lepas di Jalan Abell.

Sementara itu, empat lagi suspek yang ditahan bersama tertuduh berkaitan kes pembunuhan itu dibebaskan dengan bon polis RM20,000 berserta seorang penjamin untuk menjamin kehadiran mereka di mahkamah sebagai saksi.

Menurut laporan polis, kejadian berpunca daripada pergaduhan di antara mereka yang ketika itu berada di bawah pengaruh alkohol.

Mayat dua pelajar Universiti Newscastle itu ditemui terbaring di atas jalan di Jalan Abell.

Pelajar jurusan perubatan itu sedang menjalani latihan enam minggu di sebuah hospital di sini yang merupakan sebahagian daripada tugasan pengajian mereka.

Selain itu, Zulkifli turut didakwa di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan kerana menerima barang curi ketika melakukan rompakan.

Semalam, tertuduh yang ditemani ahli keluarga dan rakan hadir tanpa peguam bela.