Kolam Terbiar Sibu Jaya ragut nyawa lagi

0

MANGSA ‘KOLAM’: Mayat mangsa ketika berada di Klinik 1Malaysia Sibu Jaya sebelum dihantar ke Hospital Sibu pagi semalam.

SIBU JAYA: Seorang murid tahun satu dijumpai mati dipercayai lemas di sebuah kolam terbiar berhampiran sebuah sekolah rendah di sini, pagi semalam.

Ketua Balai Polis Sibu Jaya Inspektor Kushairy Bujang berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia selepas dipercayai lemas di kolam berhampiran sekolah terbabit.

Jelasnya, kanak-kanak berkenaan dibawa oleh seorang lelaki warga Indonesia bersama datuknya ke Klinik 1Malaysia di sini, tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 11.15 pagi.

“Mangsa yang dikenal pasti sebagai Imanuel Sabester berusia tujuh tahun dikatakan mengikut datuk dan neneknya meracun rumput berdekatan kolam di situ,” katanya.

Kata Kushairy, ibu bapa mangsa sudah bercerai dan mangsa tinggal bersama pasangan warga emas itu di perumahan Town Villa dekat sini.

Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Namun demikian, siasatan lanjut masih dilakukan,” kata Kushairy.