Malaysia kongsi input keselamatan penerbangan pada mesyuarat ICAO

0

SEPANG: Malaysia akan berkongsi inputnya tentang keselamatan penerbangan pada mesyuarat Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Sesi 203 yang akan diadakan di Montreal, Kanada bulan depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang akan mewakili Malaysia pada mesyuarat itu, berkata beliau akan membincangkan cadangan berhubung perlunya mengemas kini aspek keselamatan penerbangan antarabangsa, susulan tragedi menimpa dua pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan Penerbangan MH17.

“Amat penting untuk Malaysia berkongsi imputnya pada mesyuarat itu. Kami akan bekerjasama dengan badan dunia itu dan memberikan pandangan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri istiadat memberi penghormatan kepada tiga jenazah tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini semalam.

Berhubung input yang akan dikongsikan itu, Liow berkata antara lain adalah menyemak semula aspek keselamatan laluan penerbangan dan penilaian risiko yang akan disalurkan kepada syarikat penerbangan dan pengawal trafik udara di seluruh dunia.

“Ini perlu bagi membolehkan semua negara mempunyai kapasiti untuk mengkaji keselamatan laluan pesawat. Lagipun, kami juga mahu penerbangan antarabangsa mempunyai sistem pengesanan daripada semua pesawat,” katanya.

Liow berkata input itu selaras dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi standrad jelas dalam menentukan keselamatan laluan penerbangan ekoran ICAO telah mengeluarkan nasihat mengenai kawasan yang perlu dielakkan tetapi tidak mengisytiharkan laluan penerbangan di kawasan itu sebagai tidak selamat.

“Kami telah tidak berkongsi maklumat yang cukup tentang risiko bagi laluan itu dan input-input ini akan dibincangkan,” katanya. — Bernama