Selamat bersemadi

0

Oleh Mahathir Haroun dan Siti Aisyah Ramli//

DIIRINGI DOA: Ahli-ahli keluarga dan sanak saudara mangsa pada upacara pengebumian jenazah Afzal dan Marsha di Tanah Perkuburan Semariang, semalam.

Jenazah Afzal dan Marsha dikebumikan dalam satu liang lahad bersebelahan ibu bapa dan abang mereka

KUCHING: Dua lagi jenazah mangsa MH17 yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Semariang semalam menjadikan lima daripada jenazah enam anak-beranak selamat disemadikan di tanah air.

Jenazah dua beradik, Muhammad Afzal Tambi, 17, dan adiknya Marsha Azmeena, 15, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini selepas solat Jumaat.

Jenazah dikebumikan pada kirakira 2.30 petang bersebelahan kubur bapa mereka Tambi Jiee, ibu Ariza Ghazalee dan abang mereka, Muhammad Afif.

Jenazah Ariza dan Muhammad Afif disemadikan pada 22 Ogos lepas dan jenazah Tambi pada 9 September.

Kini, keluarga mangsa tragedi kapal terbang yang jatuh di Ukraine pada 17 Julai lalu mengharapkan jenazah Muhammad Afruz, 13, dapat dibawa balik untuk disemadikan di sisi ahli keluarganya yang lain.

Nenek mereka Dayang Jamilah Noriah Abang Anuar, 72, dan ibu saudara Madzalina Ghazalee menghadiri upacara pengebumian yang berlangsung dalam suasana amat pilu dan menyentuh hati.

Sebelum disemadikan, dua jenazah itu disembahyangkan di Masjid Jamek yang diketuai Imam Besar Negeri Datuk Johji Suhaili dengan kira-kira 1,500 jemaah.

Turut menunaikan solat jenazah Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman.

Jenazah yang dibawa menggu-nakan van tiba di masjid disambut dengan laungan azan Zuhur pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, pesawat yang membawa dua jenazah adik-beradik itu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Kuching pada 11.30 pagi.

Sejurus tiba, 18 anggota dari Rejimen Keempat Kor Amor Diraja membawa keluar keranda mereka untuk upacara penuh penghormatan tentera.

Turut berada di TUDM ialah Wan Junaidi, Daud dan kira-kira 300 anggota keluarga dan sahabat handai mangsa.

Selesai upacara penghormatan, keranda dimasukkan ke dalam van jenazah dan dibawa ke Masjid Jamek untuk solat jenazah.

Terdahulu, pesawat jenis Charlie C130 yang membawa keranda kedua-dua jenazah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 pagi diiringi Fadillah serta ahli keluarga terdekat mangsa.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa insiden yang sama dari Bintulu, mendiang Meling Mula, 48, dalam proses untuk dibawa balik ke tanah air selepas dikenal pasti.