Johor tetap syarat Rumah Mampu Milik tidak boleh jual dalam tempoh 5 tahun

0

JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri Johor bakal menetapkan syarat baru kepada pembeli rumah mampu milik di negeri itu untuk menyekat mereka daripada menjual kediaman masing-masing dalam tempoh lima tahun.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata syarat itu akan dilaksanakan untuk menghalang pembeli rumah mampu milik daripada sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dengan mudah dengan menjual rumah mereka kepada orang lain dengan harga yang tinggi.

“Rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan negeri telah memperuntukkan subsidi yang sangat tinggi jumlahnya berbanding harga kos sebenar yang perlu ditanggung oleh pembeli terhadap rumah tersebut,” kata beliau.

“Kita tidak mahu warga asing pula yang memiliki rumah terbabit dengan meletakkan harga yang tinggi supaya dapat mengaburi mata pembeli warga tempatan dan disebabkan hal itu, syarat baru itu dikenakan kepada pembeli,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika majlis pecah tanah rumah mampu milik Kampung Sungai Danga di sini pada Sabtu.

Beliau berkata sebanyak 37,000 buah rumah mampu milik bakal didirikan menjelang 2018, dan jumlah ini melebihi sasaran awal kerajaan negeri iaitu 28,000 buah sahaja.

“Daripada jumlah itu 31,000 buah rumah akan ditempatkan di daerah Johor Baharu khususnya di Iskandar Malaysia dengan harga RM80,000 ke bawah.”

Beliau berkata Iskandar Malaysia dipilih untuk pembinaan rumah mampu milik kerana dilihat pertambahan penduduk yang semakin meningkat serta pembangunan yang pesat di sekitar Bandar Medini.

Setakat Julai lepas, kerajaan negeri menerima permohonan daripada 47,367 pemohon untuk rumah mampu milik yang memerlukan penelitian sewajarnya bagi memastikan pemohon menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat walaupun berhadapan dengan kenaikan kos yang semakin meningkat serta permintaan yang tinggi oleh rakyat di negeri ini. — BERNAMA