KL Converge papar potensi industri kreatif

0

Oleh Nurul Halawati Azhari dan Yong Soo Heong

SELESAI SUDAH: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyampaikan ucapan penutupan sempena Majlis Makan Malam Gala KL Converge 2014 di Pusat Konvensyen KLCC, kelmarin. — Gambar Bernama

 

PAMERAN dan persidangan KL Converge 2014 yang telah berlangsung mulai Rabu hingga kelmarin di ibu negara, menampilkan pelbagai peluang sedia ada bagi pembekal kandungan kreatif dari Malaysia.

Acara itu, yang melibat dan menemukan penyedia kandungan kreatif tempatan dan asing, juga menjadi pelantar bagi penyatuan idea-idea dan pengagihan kandungan digital.

Penganjur turut menjemput beberapa tokoh utama industri berkenaan untuk berkongsi pengalaman termasuk Namit Malhotra, pakar ‘special effects’ bunyi dan visual bagi siri filem popular ‘Transformers’.

Malhotra dalam pembentangan mengenai topik CG dan VFX berkongsi pengalaman syarikatnya yang bermula secara kecil-kecilan di Mumbai, India, sehinggalah penglibatannya dalam beberapa filem keluaran Hollywood seperti ‘Gravity’ dan ‘Lego the Movie: The Legend of Chima’.

Beliau turut menekankan bahawa terdapat potensi besar yang boleh dicapai oleh syarikat-syarikat dalam industri kandungan kreatif kerana wujudnya permintaan berterusan bagi kandungan dan bakat kreatif, termasuk pakar kesan visual.

KL Converge 2014 sebenarnya membuka satu lembaran baru kepada penggiat kandungan kreatif tempatan dalam memperluaskan lagi penyertaan mereka dalam industri kreatif.

Penggiat industri kreatif Malaysia banyak menyaksikan kejayaan sejak kebelakangan ini.

Umum tahu kejayaan siri animasi Upin dan Ipin, hasil kreativiti tenaga kerja Les’ Copaque Production Sdn Bhd sejak diperkenalkan pada 2007 menerusi TV9.

Kejayaan Upin dan Ipin baik daripada segi kandungan, kreativiti dan pemasarannya berjaya menaikkan martabat industri animasi tempatan ke peringkat antarabangsa.

Ia secara tidak langsung menetapkan satu tanda aras bagi para penggiat industri kreatif terutama dalam bidang berkenaan.

Sejak itu muncul pula siri animasi Boboiboy keluaran Animonsta Studio dan siri animasi wira Islam, Saladin, terbitan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Saladin pernah ditayangkan di Al Jazeera Children’s Channel untuk penonton Timur Tengah pada 2010.

Kejayaan siri animasi tempatan itu turut membawa satu perubahan luar biasa dalam industri kreatif negara sehingga kerajaan mewujudkan dana untuk penggiat industri ini.

Malah bidang multimedia digital mula menjadi pilihan utama para pelajar di institusi pengajian tinggi berikutan peluang yang terdapat dalam bidang berkenaan.

Bagi mereka yang berada di luar industri kandungan pula, masih ramai yang tidak jelas mengenai industri kreatif dan tumpuan hanya diberi kepada bidang animasi sahaja.

 

TANGGAPAN SALAH

 

Bagaimanapun, industri kreatif bukanlah mengenai animasi semata-mata.

Ia melibatkan komunikasi, penyiaran, teknologi digital dan kandungan kreatif.

Animasi adalah satu daripada cabang dalam kandungan kreatif termasuk filem, drama dan muzik.

Menurut pensyarah multimedia di Malaysian Institute of Information Technology UniKL Mohd Zaky Khairuddin, maksud industri kreatif di Malaysia ada kalanya disalah anggap sebagai terhad kepada industri visual sahaja.

Sungguhpun begitu, tahap kesedaran berhubung industri kreatif baharu telah meningkat dalam lima tahun kebelakangan ini.

Pada 2012, kerajaan memasukkan bajet berjumlah RM200 juta yang diuruskan oleh MyCreative Ventures, cabang pelaburan kerajaan yang bertujuan meningkatkan industri kreatif tempatan kepada standard lebih tinggi.

“Nilai itu tidaklah banyak jika dibandingkan dengan modal sebuah filem Hollywood yang boleh mencecah AS$400juta (RM1.2 bilion).

“Tetapi ia adalah sokongan kepada penggiat industri kreatif,” kata Mohd Zaky kepada Bernama.

Malaysia baru membuka pintu kepada kepantasan industri kreatif.

Bermula 2010 hingga kini, industri kreatif di Malaysia mengalami zaman ‘fast forward’.

“Penggiat seni kreatif sudah melangkah ke peringkat antarabangsa tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan.

“Lihat sahaja perniagaan dalam talian sekarang,” katanya.

Beliau berpendapat dalam tempoh 10-15 tahun akan datang, permintaan dari luar akan melonjak seperti yang berlaku di China, India dan Filipina.

Hollywood sudahpun mula mencari tenaga kerja kreatif dari negara-negara Asia.

Inilah peluang yang perlu dilihat kerana industri kreatif boleh menghasilkan pulangan lumayan sehingga berbilion ringgit.

Jika peluang ini tidak direbut, ia menjadi satu kerugian yang amat besar kepada negara.

Bagaimanapun, Mohd Zaky turut menyatakan perlu adanya langkah persediaan jangka panjang bagi mengawal hasil kandungan kreatif.

“Siapa tahu dunia tanpa sempadan hari ini akan menyebabkan kita tidak mempunyai kawalan atau tidak mempunyai kuasa lagi untuk mengawal hasil kandungan kreatif oleh syarikat luar yang bertapak di sini,” ujarnya.

 

INSPIRASI

 

Dua puluh finalis Pertandingan Video Hubungan Inspirasi 2014 di bawah program Projek Hubungan, memanfaatkan inspirasi yang diberikan pakar industri kandungan untuk melangkaui pasaran tempatan, pada KL Converge 2014.

Seminar ‘Hubungan Inspirasi — Melangkaui Idea Kreatif’ dianjurkan MDeC bertujuan memberi motivasi dan menggalakkan pengeluar kandungan dan remaja kreatif untuk menerokai idea baharu dalam membangunkan kandungan kreatif.

Naib Presiden MDeC Kamil Othman berkata, pengeluar kandungan kreatif masih kekurangan idea untuk memenuhi standard tinggi pasaran global.

“Permintaan untuk kandungan kreatif di seluruh dunia adalah bernilai AS$1.7 trilion dan pasaran Malaysia hanya satu peratus daripada nilai itu.

“Kita tidak boleh bergantung hanya kepada pasaran tempatan, dan terus membiarkan Hollywood, Bollywood dan sebagainya menguasai pasaran dunia,” katanya kepada Bernama selepas berkongsi pandangan mengenai trend terkini serta peluang.

Dalam Pertandingan Video Hubungan Inspirasi 2014, peserta finalis diberi masa dua hingga tiga minit untuk memaparkan video mereka sebelum pakar-pakar industri kreatif menghakimi paparan video mereka.

Naib Presiden Akademi KRU (Pemasaran) Dr Yahaya Abdullah pula berkata, beliau telah menyaksikan produk luar biasa yang dihasilkan remaja termasuk dari kawasan luar bandar sepanjang program Projek Hubungan di seluruh negara.

“Mereka memanfaatkan teknologi dengan lancar dan saya nampak, kita boleh terus menghasilkan video yang lebih baik dan lebih menarik,” katanya.

Dalam pada itu, aplikasi sembang dan pesanan dalam bahasa Melayu akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini bagi merebut peluang pasaran dalam kalangan pengguna celik bahasa Melayu di rantau ini.

Pengasas IAW Eduapps Sdn Bhd Alan Yeap, semasa mengumumkan demikian, berkata aplikasi itu sedang dimuktamadkan bagi menampilkan lebih banyak tarikan dan manfaat untuk pengguna IOS dan Android.

Bagi menarik dan mengekalkan pengguna, beliau berkata aplikasi itu akan membolehkan mereka memperoleh pendapatan pasif dengan memperkenalkan permainan dan ciri lain kepada pengguna lain menerusi aplikasi itu.

“Terdapat pasaran yang besar di luar sana, dan kami mahu membolehkan pengguna menjana pendapatan menerusi kehadiran mereka dalam aplikasi kami daripada pengiklan yang berminat mempromosikan produk mereka,” katanya pada hari terakhir KL Converge 2014 kelmarin.

Pendapatan pengiklanan dalam dunia Internet dianggarkan mencecah berbilion ringgit setahun.

 

KEKAL UNIK

 

“Untuk kekal unik, kami mahu membantu pengguna menjana pendapatan daripada kehadiran mereka dalam aplikasi kami,” kata Yeap yang menghadiri KL Converge untuk meninjau pembangunan terkini dalam sektor aplikasi mudah alih.

Tahun lepas, IAW Eduapps adalah antara tiga pemenang pada Hari Pembangun Malaysia.

Yeap berkata, aplikasi sembang dan pesanan boleh meraih populariti kerana lebih ramai pengguna memilih bentuk komunikasi sedemikian seperti yang terbukti menerusi penggunaan meluas aplikasi WhatsApp dan WeChat.

Selain cadangan aplikasi pesanan dan komunikasi, IAW Eduapps juga mengeluarkan lebih 100 aplikasi permainan mudah alih.

“Inilah yang menular sejak telefon pintar muncul dalam pasaran kira-kira tujuh tahun lepas,” kata Yeap, yang menyertai dunia pembangunan permainan Internet dua tahun lepas.

“Sebelum itu, saya menjual barangan lain.” katanya.

Selain mempunyai pengatur cara rakyat Malaysia, Yeap berkata beliau juga mengambil pekerja teknikal mahir dari Singapura dan Vietnam.

“Kami memang mempunyai pekerja tempatan tetapi untuk terus mendahului bidang ini, kami perlu mendapat-kan pekerja terbaik dari rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya kini mempu-nyai kira-kira 24 pekerja pengaturcaraan mahir.

Yeap percaya lebih banyak penekanan perlu diberikan kepada kemahiran teknikal jika Malaysia mahu mempunyai bahagian yang lebih besar dalam pasaran permainan dan Internet.

Beliau berkata, sudah tiba masanya sistem pendidikan Malaysia memperkenalkan kursus diploma dan ijazah aplikasi mudah alih bagi meningkatkan bilangan pembangun aplikasi mahir dalam pasaran yang semakin berkembang luas itu.

“Kita mempunyai ramai pekerja pemasaran yang baik tetapi kita kekurangan pekerja teknikal mahir,” katanya.

Menurutnya satu lagi bidang yang pihak berkuasa Malaysia perlu lihat di sebalik persekitaran kerja kondusif untuk pembangun aplikasi ialah meningkatkan kelajuan jalur lebar Internet. — Bernama