Majlis kahwin kecoh, pengantin diragut

0

KUCHING: Satu majlis perkahwinan di Siburan di sini kecoh selepas pengantin perempuannya diragut ketika berjalan masuk ke dalam dewan persandingan malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 20-an semasa kejadian dikatakan bersama pengantin lelaki serta diiringi ahli keluarga mereka masuk ke dewan persandingan apabila dihampiri dua lelaki tidak dikenali iaitu sekitar jam 7 malam.

Difahamkan, seorang daripada lelaki tersebut bertindak meragut beg tangan pengantin perempuan, namun berjaya dihalang oleh pengantin lelaki.

“Berlaku pergelutan di antara mereka sebelum kedua-dua suspek yang dipercayai Bumiputera berjaya meloloskan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah motosikal,” kata sumber. Kedua-dua pengantin tersebut dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan dan majlis perkahwinan tersebut berjalan lancar seperti yang dirancang selepas itu.